MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Sunday, June 1, 2008

ISMAIL SABRI PERASAN DIRINYA BAGUS...


BEZA DESAK ORANG BAGUS BUAT KERJA LETAK JAWATAN DENGAN DESAK ORANG TAK BAGUS BUAT KERJA LETAK JAWATAN ZAMAN ABDULLAH ....

Mahathir tekad kekal penasihat Petronas, Proton suka dipecat
31-05-2008 07:32:28 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tidak akan melepaskan kedudukan beliau dalam beberapa syarikat dan badan kerajaan, termasuk sebagai penasihat Petronas dan Proton - jawatan yang disandang sejak berundur daripada jawatan Perdana Menteri lima tahun lalu.

"Saya tidak nampak sebab mengapa saya perlu melepaskan jawatan itu. Saya lebih suka ditendang (dipecat)," kata beliau sambil menambah, jawatan-jawatan berkenaan tidak kena-mengena dengan kedudukannya yang kini bukan lagi ahli Umno.

Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya kedudukannya sebagai pengerusi dan penasihat syarikat dan badan-badan kerajaan berikutan keputusan beliau untuk keluar daripada Umno kira-kira dua minggu lalu.

Majlis Tertinggi Umno telah menerima keputusan beliau untuk keluar parti tetapi beliau boleh kembali ke pangkuan parti jika berhasrat untuk berbuat pada masa depan.

Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada majlis Program Suntikan Semangat Satria di sini hari ini.

Kata Dr. Mahathir, mengikut tradisi, bekas Perdana Menteri memegang jawatan dalam syarikat dan badan-badan kerajaan dan ia tidak mempunyai kaitan dengan keahlian dalam Umno.

"Tun Hussein Onn (bekas Perdana Menteri) dulu memgang jawatan Pengerusi Petronas dan beberapa badan lain. Bila beliau tidak mahu jadi ahli Umno, beliau terus pegang jawatan itu," ujar beliau lagi.

Dr. Mahathir juga merupakan Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, yang ditubuhkan selepas beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob meminta Datuk Mokhzani Mahathir yang turut mengumumkan keluar daripada Umno minggu lepas, supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas alasan jawatan itu adalah hak kerajaan.

"Jawatannya itu adalah hak kerajaan. Bila dia (Mokhzani) keluar Umno, secara prinsipnya, beliau kena lepaskan jawatan dalam kerajaan," kata Ismail Sabri merujuk kepada SIC yang merupakan anak syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang dikuasai kerajaan melalui Khazanah Holdings.


DR. MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan peserta majlis Suntikan Semangat Satria di Petaling Jaya pagi ini.

Mokhzani pada 21 Mei lepas mengumumkan keluar daripada Umno untuk mengikut jejak bapanya yang berbuat demikian atas alasan tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri.

Beliau mengumumkan keluar Umno tiga hari selepas Dr. Mahathir memutuskan untuk berbuat demikian.

Dr. Mahathir juga enggan mengulas panjang kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang menggesa Mokhzani supaya meletak jawatan sebagai pengerusi Sepang International Circuit (SIC).

"Kalau saya di tempatnya (Mokhzani), saya tidak akan meletak jawatan," katanya.

Diminta mengulas keputusan Mahkamah Antarabangsa yang menyerahkan Pulau Batu Putih atau Pedra Branca kepada Singapura baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata. ini berlaku kerana kegagalan pasukan Malaysia untuk berhujah mempertahankan kepentingan Malaysia.

"Singapura hantar ketua hakimnya dan seorang peguam yang pernah berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kita hantar peguam negara. Jika kita hantar ketua hakim negara, tidak dapat tidak, pasukan kita akan dihormati oleh hakim-hakim yang mengadili kes itu.

"Pasukan kita gagal berhujah menafikan surat yang ditulis oleh seorang pegawai kerajaan Johor kepada seorang pegawai British di Singapura yang mengaku bahawa pulau itu milik British sedangkan pegawai itu tidak ada sebarang hak untuk membuat pengakuan itu kerana yang berhak hanya Sultan Johor.

"Surat itu ditulis sebelum kita merdeka, jadi pegawai itu tidak bebas, malah mungkin menulis atas arahan ketuanya yang juga pegawai British supaya mengaku Pulau Batu Putih milik British.

"Inilah yang terjadi apabila kita menghantar orang yang tidak cekap berhujah bagi pihak kita," katanya sambil menambah, ketika beliau masih Perdana Menteri, bekas setiausaha politiknya, Mathias Chang telah menjalankan kajian mendalam mengenai isu itu dan laporan yang mengatakan pulau itu milik Malaysia telah diserahkan kepada Wisma Putra.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu sama ada mereka membaca laporan itu atau tidak, maka rugilah kita," katanya.

Terdahulu dalam sesi dialog dengan kira-kira 1,000 hadirin, Dr. Mahathir mendakwa bahawa kerajaan pimpinan Abdullah telah menyalahgunakan wang ihsan daripada keuntungan Petronas berjumlah kira-kira RM1 bilion setahun, yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan Terengganu sejak empat tahun lalu.

"Wang ihsan itu untuk projek pembangunan. Apabila ia hendak dibelanjakan ia perlu ada belanjawaan dan melalui proses tertentu sebelum wang itu boleh dikeluarkan.

"Setakat yang saya tahun proses ini tidak dijalankan. Ini adalah satu kesalahan. Perbelanjaan wang itu diputuskan oleh Perdana Menteri, Menteri Besar (ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh) dan satu dua kawan-kawan mereka yang bukan pun orang kerajaan.

"Kerana itu ia memberi keuntungan pada kontraktor tertentu yang ada hubungan rapat dengan orang tertentu," katanya.

Dr. Mahathir berkata, beliau yakin Kerajaan Negeri Terengganu akan menuntut baki wang ihsan itu dikembalikan.

Jika itu berlaku, katanya, kerajaan persekutuan akan menghadapi masalah kerana mereka telah membelanjakan sebahagian wang itu antara lain untuk membina Masjid Kristal dan menganjurkan Monsoon Cup sedangkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dilaporkan telah berkata, kedua-dua projek itu bukan satu projek pembangunan dan dengan itu tidak boleh dibiayai dengan wang ihsan.

No comments: