MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Monday, June 23, 2008

SUBSIDI MINYAK PETROL DAN DIESEL PATUT DIKURANG ATAU DITAMBAH..?




23 Jun, 2008 20:27 PM

Penstrukturan Semula Subsidi Bahan Api Akan Ditambah Baik


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A. Aziz (kanan) ketika temubual eksklusif bersama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Yong Soo Heong di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Foto: Mahayudin Mohamad

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama)-- Penstrukturan semula subsidi bahan api Malaysia akan ditambah baik secara berterusan bagi mengurangkan bebanan ke atas kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ia juga akan menampal sebarang ketirisan, meningkatkan penjimatan dan menjadikan ekonomi lebih efisien, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab bagi Perancangan Ekonomi, Senator Tan Sri Amirsham A. Aziz di sini hari ini.

Lebih banyak projek akan turut ditawarkan melalui tender bagi memastikan penetapan harga yang lebih berdaya saing, katanya kepada Bernama dalam temubual bersemuka yang pertama selepas dilantik menganggotai kabinet.

Katanya wang yang dijimatkan berikutan penstrukturan semula subsidi bahan api akan digunakan untuk meningkatkan bekalan bahan makanan, memastikan keselamatan makanan dan memastikan harga berada pada paras yang termampu.

Kerajaan juga sedang mencari pelan yang komprehensif untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.

Mengenai rebat kepada pemilik kenderaan, Amirsham berkata kerajaan sedang menimbangkan mencari satu penyelesaian berasaskan MyKad mengikut prinsip penggunaan bahan api berbanding dengan rebat tunai kerana rebat itu tiada persamaan kerana ia tidak berasaskan penggunaan.

"Eksesais penstrukturan semula subsidi itu akan menampal sebarang ketirisan di dalam sistem subsidi dan memastikan hanya golongan yang disasarkan seperti golongan miskin dan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana akan mendapat manfaat dari bantuan itu," katanya.

Selain rebat tunai kepada pemilik kenderaan, kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai langkah keselamatan sosial dengan menyediakan lebih banyak bantuan terhadap golongan kurang upaya dan memastikan pengguna elektrik yang kecil tidak akan menerima kesan dari tarif baru berkenaan.

Amirsham berkata pertumbuhan ekonomi negara ini dijangka melantun semula selepas dilakukan "pelarasan" terhadap harga bahan api yang lebih tinggi di negara ini.

Beliau menganggarkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dicatatkan sekitar 5.0 peratus pada tahun ini berbanding dengan unjuran awal sebelum kenaikan harga bahan api di sekitar 6.0 hingga 6.5 peratus.

Beliau turut mendedahkan langkah meluas mengenai cara-cara kerajaan menangani isu sensitif mengenai kenaikan harga minyak mentah dan langkah meminimumkan impaknya ke atas rakyat dengan melaksanakan penstrukturan semula subsidi komprehensif.

"Kepentingan rakyat mesti diberi keutamaan dan kerajaan akan melakukan sedaya upayanya untuk mengurangkan bebanan mereka," katanya.

Berikutan adalah petikan wawancara berkenaan:

S1. Boleh Tan Sri jelaskan latar belakang penstrukturan semula subsidi? Perlukah ia dilakukan sekarang?

Amirsham: Sebelum 2004, jualan bahan api kepada orang ramai telah menjana perolehan kepada kerajaan. Tetapi sejak 2004 pergerakan harga minyak menjadi semakin hebat.

Hasilnya, kerajaan perlu membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan seterusnya. Perlukah disalurkan kos tambahan itu kepada rakyat atau tidak? Kemudian diputuskan bahawa kerajaan mungkin perlu menunggu memandangkan harga minyak yang tinggi mungkin sementara...diharapkan harga (bahan api) akan kembali normal.

Tetapi itu tidak terjadi. Malah tidak berlaku pada 2004, 2005, 2006 dan 2007 yang menyaksikan harga terus naik dan naik dan menyebabkan jumlah subsidi yang ditanggung kita semakin bertambah.

Ini menyebabkan pada 2007, subsidi minyak hanya minyak sahaja berjumlah RM16.2 bilion apabila harga purata minyak sekitar AS$60 setong.

Tetapi dengan harga semasa (kira-kira AS$135), subsidi minyak yang perlu ditanggung mungkin antara RM30 bilion dan RM50 bilion setahun. Kami mendapati ini merupakan suatu yang tidak dapat dipertahankan hanya untuk membelanjakan sejumlah wang berkenaan untuk subsidi minyak sahaja.

S2. Bagaimana dengan keadaan harga dunia minyak dan makanan melonjak dengan kebanyakan rakyat merasa beban dari segi kewangan, kerajaan memilih untuk melaksanakan penstrukturan semula subsidi? Kenapa kerajaan tidak menangguhkan proses pengurangan subsidi ini?

Amirsham: Kenaikan harga minyak yang tinggi menjadikan situasi tidak boleh dipertahankan lagi (dari AS$60 pada awal 2006 kepada AS$138 pada Jun 2008). Jika kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya, subsidi minyak mungkin naik kepada lebih RM50 bilion tahun ini (lebih daripada RM40 bilion bajet pembangunan tahunan RMK-9).

S3. Apakan kesannya terhadap rakyat Malaysia dalam jangka pendek hasil daripada pengurangan subsidi bahan api ini?

Amirsham: Dalam jangka pendek, kenaikan harga minyak dan tarif akan memberikan kesan harga turun naik barangan dan perkhidmatan. Pana mulanya mereka akan menyebabkan beberapa pelarasan yang tidak menyenangkan.

S4. Bagaimana kerajaan membuat keputusan terbaik untuk masa depan?

Amirsham: Pelbagai pilihan dikaji semula dan dibincang. Kerajaan memutuskan bahawa satu konsep "pakej" yang menyeluruh melibatkan gabungan pengurangan subsidi, rebat tunai, memperluaskan jaringan keselamatan sosial dan pencukaian daripada keuntungan yang tidak dijangka bagi sektor-sektor tertentu.

S5. Pengkritik mendakwa kerajaan tidak melakukan yang secukupnya untuk rakyat di tengah-tengah situasi kenaikan harga bahan api, barangan makanan dan perkhidmatan tertentu. Tidakkah kerajaan perlu terus dengan subsidi untuk membuatkan rakyat gembira?

Amirsham: Kerajaan sedar ramai yang memang difahami tidak gembira dengan keputusan (subsidi bahan api). Pengurangan subsidi, yang secara tradisinya dinikmati rakyat Malaysia, bukan satu yang mudah, tetapi ia perlu dilakukan. Perkara paling mudah untuk dilakukan ialah mengekalkan subsidi, dan mendapat populariti (seperti apa yang dilakukan oleh pembangkang).

Tetapi kerajaan perlu melakukan perkara yang betul, dan ia adalah "mengutamakan kepentingan rakyat."

Sebagai contoh, pengguna elektrik yang berpendapatan rendah (di bawah 200 kilowatt, atau bagi mereka yang membayar kurang daripada RM 43.00/bulan) tidak terjejas.

Kita juga memperluaskan jaringan keselamatan sosial dengan menyediakan tambahan RM300 sebulan kepada rakyat yang kurang upaya (daripada RM 750 sebulan sekarang ini) dan tidak lupa rebat tunai untuk pemilik kenderaan berpendapatan rendah hingga sederhana.

S6. Apakah kesan sampinagn subsidi bahan api ini?

Amirsham: Apabila kita bercakap mengenai subsidi, ia merupakan perbelanjaan kerajaan. Hasil daripada itu, didapati jumlah perbelanjaan operasi kerajaan semakin bertambah untuk pembayaran subsidi (bahan api).

Ini bukan suatu yang baik kerana kita sebenarnya tidak boleh menggunakan perbelanjaan operasi sehingga dalam jumlah yang besar untuk hampir mengisi keseluruhan ruang kosong tanpa had.

Hasil daripada subsidi bahan api, kita mendapati ia mempunyai banyak kesan sampingan. Kita dapati jika harga minyak di negara jiran tinggi, akan terdapat ketirisan. Itulah sebabnya kita dapati banyak kereta Thai beratur di stesen minyak kita pada suatu masa dulu.

Akhirnya, kita sebenarnya memberi subsidi juga kepada bukan rakyat Malaysia. Dan penyeludupan muncul akibat daripada harga bahan api yang lebih rendah di Malaysia.

Jadi apabila tidak berada hampir dengan harga pasaran, ketidakcekapan dari segi pengagihan dan ketirisan akan muncul. Malah boleh juga berlaku kegiatan menyorok dan ini akan berbahaya kepada ekonomi. Jadi kerajaan memutuskan, "Mari kita rapatkan jurang itu."

S7. Bagaimana kerajaan melihat kesan pengurangan subsidi bahan api?

Amirsham: Tetapi untuk mengurangkan jurang, kita perlu melihat kesan terhadap rakyat selebihnya. Petroleum merupakan suatu yang amat sensitif dari segi kesan terhadap IHP (Indeks Harga Pengguna).

Tetapi tidak melakukannya juga merupakan satu bukan opsyen. Jadi apa yang kita putuskan adalah untuk mencari cara menstruktur semula subsidi ini. Ini bermakna kita cuba mencari cara perubahan baru mengagihkan subsidi. Ini bermakna subsidi hanya diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

S8. Bagaimana boleh mencapai keputusan untuk memberikan rebat kepada kumpulan berpendapatan rendah?

Amirsham: Kami berbincang dalam kerajaan bagaimana untuk melaksanakannya. Tetapi kami mendapati data tidak lengkap dari segi golongan miskin. Tetapi pada masa yang sama penting bagi kami untuk mula menutup jurang dari segi perbezaan harga (bahan api) antara pasaran dan apa yang dibayar oleh pengguna.

Jadi pilihan yang kami ada pada masa itu ialah menggunakan data yang ada, yang merupakan data JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan).

Dengan menggunakan data JPJ, kita boleh menentukan siapa yang seharusnya mendapat faedah daripadanya, kaedah yang kami gunakan, had pada 1,600 cc atau 2,000 cc dan yang selebihnya tiada. Kita perlu berhati-hati.

Jadi kerajaan memutuskan untuk menggunakan penanda aras 2,000cc. (Kerajaan memutuskan untuk memberikan rebat tunai kepada kenderaan 3,000 cc di Sabah dan Sarawak). Ia bukan suatu penyelesaian yang sempurna... penyelesaian itu merupakan penyelesaian sementara sehingga kami berusaha mencari yang lebih baik.

S9. Apa lagi habuan rakyat?

Amirsham: Kami mencadangkan penyelesaian menggunakan MyKad untuk menentukan prinsip penggunaan yang lebih adil.

Ia masih belum boleh digunakan lagi, kami masih berusaha mengenainya. Perlu saya katakan bahawa ini bukan suatu yang tidak difikirkan (oleh kerajaan), selepas memikirkannya kita ada rebat tunai, kita fikirkan suatu yang lain.

Pada masa ini, sistem rebat tunai bukan suatu yang adil kerana ia tidak berdasarkan kepada prinsip penggunaan. Ia hanya pada 2,000 cc (untuk kenderaan Semenanjung Malaysia) dan ke bawah.

Yang lebih saksama ialah melalui penggunaan, semakin kurang penggunaan, semakin banyak perlindungan.

Jika anda menggunakan lebih lagi, anda tidak (dapat), hanya seperti konsep bayaran elektrik, dengan cara berperingkat-peringat. Semakin tinggi, bayaran tarif lebih tinggi. Jadi adalah diharapkan sistem baru ini dapat dilaksanakan dalam enam bulan akan datang.

S10. Apakah matlamat sebenar penstrukturan subsidi?

Amirsham: Kerajaan sentiasa berusaha mengkaji langkah ini bagi menyelaras atau mengimbangi pasaran bagi mengelak ketirisan, dan yang lebih penting, mengubah dasar dari segi subsidi untuk menyokong isu keselamatan makanan.

Peningkatan harga makanan memburukkan lagi isu dan di sinilah kita perlu mencari jalan untuk menjimatkan sedikit wang dengan mengurangkan peruntukan wang untuk subdidi, dan menyalurkan wang itu untuk perkara-perkara dalam bentuk jaring keselamatan sosial, yang memastikan harga makanan pada paras yang mampu dibeli.

Untuk itu sahaja, kerajaan membelanjakan RM800 juta. Wang ini perlu datang dari sumber tertentu, seperti penjimatan daripada subsidi bahan api yang berkurangan.

Yang lebih penting ialah menyalurkan lebih banyak wang untuk pembangunan keselamatan makanan dalam jangka panjang supaya kita tidak menghadapi isu ini kemudian hari, seperti pergantungan kepada makanan asasi seperti beras. Itulah caranya kita beralih daripada isu subsidi.

Dengan bertindak demikian, kerajaan kini berhati-hati terhadap impak jangka pendek peningkatan harga bahan api dan kesan sampingan lain.

Namun dalam jangka panjang, kita mengkaji cara untuk meningkatkan bekalan makanan yang akan membantu kestabilan dari segi kesediaaan dan kemampuan.

S11. Apakah kewajaran kerajaan menyalurkan sebahagian daripada penjimatan ini untuk keselamatan makanan berbanding projek infrastruktur utama yang lebih diperlukan?

Amirsham: Makanan merupakan barangan perlu. Ia merupakan keutamaan kerajaan bagi memastikan bekalan mencukupi dan mampu dibeli oleh rakyat.

Kita juga sedang mengkaji usaha untuk memperluaskan barangan dalam senarai harga kawalan bagi barangan makanan. Kita mesti mencari jalan untuk menyekat ketirisan dalam sistem subsidi semasa bagi memastikan kumpulan sasaran mendapat manfaat penuh.

S12. Dalam menghadapi keadaan ini, adakah ia bermakna rakyat Malaysia perlu membuat penyesuaian dalam kehidupan mereka?

Amirsham: Semua rakyat Malaysia perlu membuat beberapa penyesuaian dalam kehidupan harian mereka dalam tempoh peralihan ini. Kita akui ia tidak mudah.

Bagi meminimumkan kesan sampingan ini, kerajaan cuba melindungi golongan miskin dan yang tidak berkemampuan daripada impak penuh pengurangan subsidi dalam bentuk rebat tunai, tarif status-quo serta isi rumah berpendapatan rendah, bantuan kewangan untuk mereka yang kurang upaya, dsb.

Syarikat-syarikat perlu membuat pelarasan bagi mengekalkan pengurusan yang lebih baik serta kecekapan sumber.

S13. Apakah mesej kerajaan kepada rakyat?

Amirsham: Mesej kami kepada rakyat ialah supaya mereka mengubah gaya hidup. Dan, gaya hidup itu ialah lebih kerap gunakan pengangkutan awam. Untuk tujuan itu, kami memutuskan tidak mengubah atau menyelaras harga diesel untuk pemilik kumpulan kenderaaan pada RM1.43. Itu kekal.

Malah kerajaan telah meluaskan skop kad fleet. Perdana Menteri mengumumkan beberapa sektor berhak mendapat kad fleet seperti pengusaha bot panjang di Sabah dan Sarawak.

Kami cuba mengekalkan harga diesel supaya orang ramai mampu membelinya. Itulah usaha atau kewajarannya. Dalam jangka pendek, kami cuba mengekalkan subsidi bahan api.

S14. Apakah kesan jangka panjang penstrukturan subsidi ini? Amirsham: Dalam jangka panjang, ekonomi kita bergerak ke arah sistem harga pasaran yang kompetitif, keluarga dan perniagaan lebih mudah menyediakan belanjawan dan mengurus aktiviti mereka.

Ketiadaan kos tersembunyi atau buatan memudahkan perancangan dan pengurusan ekonomi.

S15. Mengapa langkah ini perlu dilakukan?

Amirsham: Semua ini merupakan usaha untuk kecekapan tenaga dan pemuliharaan budaya. Ia perlu memandangkan Malaysia kini beralih kepada negara maju.

S16. Orang ramai masih mengadu mengenai pengangkutan awam yang tidak mencukupi di Malaysia.

Amirsham: Dalam tempoh sederhana dan panjang, Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji pelan komprehensif bagi pengangkutan awam. Kami belum sedia untuk membuat pengumuman mengenainya.

Namun peruntukan akan disediakan dalam pelbagai pelan tahunan dan lima tahun yang bertujuan menggerakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih tinggi.

Kerajaan sedang mengkaji semua aspek, kualiti perkhidmatan, dsb. Malangnya hari ini banyak kementerian terlibat dalam pengangkutan. Kerajaan sedang berusaha menyepadukan perancangan mengenainya.

Perdana Menteri sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa mengenai pengangkuan bas. Banyak yang perlu dilakukan untuk sistem pengangkutan awam yang komprehensif. Bila bercakap mengenai pengangkutan awam, kita mesti memastikan ia ada. Itu sebahagian daripadanya.

Pengguna juga perlu merasakan perbezaan mengenai jumlah yang mereka bayarar untuk pengangkutan swasta berbanding pengangkutan awam.

Jika harga bahan api tidak dinaikkan dan semua isu lain yang berkaitan dengannya, rakyat sebenarnya masih merasakan lebih murah untuk memandu sendiri kereta mereka. Oleh itu kami sedang mengkaji penyelesaian komprehensif.

Jika anda pergi ke negara maju, anda bukan sahaja mendapati harga bahan api sangat mahal, memandu memasuki bandar dan caj meletak kereta juga mahal.

Oleh itu perluas dan dasar komprehensif bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam dan tidak menggalakkan rakyat atau pemilik kenderaan menggunakan kenderaan sendiri.

S17. Mengapa kerajaan mahu bergerak ke arah harga pasaran bagi petroleum?

Amirsham: Ia lebih daripada persoalan mengenai subsidi. Ia lebih daripada itu. Ia mengenai kecekapan pasaran. Terdapat banyak gesaan supaya negara lebih terbuka supaya lebih cekap.

Lihat sektor peruncitan pada masa ini. Pengguna mempunyai lebih banyak pilihan. Harga lebih munasabah kerana ada persaingan, malah lebih rendah.

Itulah falsafahnya. Itu sebab kita bergerak ke atah kawalan harga ini secara beransur-ansur.

Bagi memastikan bekalan mencukupi, pembangunan kapasiti perlu didahulukan. Supaya pengguna akan mendapat manfaatnya.

Saingan bebas akan membolehkan kecekapan yang lebih baik dalam pemulihan harga.

S18. Adakah ia bertujuan supaya rakyat Malaysia lebih berdisipilin dalam mengurus kewangan?

Amirsham: Tepat sekali. Kami memberi masa kepada rakyat untuk membuat penyesuaian. Perdana Menteri mengumumkan bahawa mulai 3 Julai, harga gas akan berubah.

Hari ini harga gas untuk sektor perindustrian adalah kira-kira 60 peratus diskaun berbanding harga pasaran. Ini bermakna mereka membayar hanya 40 peratus daripada harga pasaran. Oleh itu kami cuba menggerakan syarikat supaya lebih produktif dan cekap.

Namun kami memebri tempoh lebih 10 tahun untuk mengurangkan diskaun gas, setiap tahun sebanyak lima peratus. Ia bertujuan memberi masa kepada syarikat untuk membuat penyesuaian dalam persekitaran pasaran dan saya yakin meraka akan memberi respons positif.

Akhirnya kita perlu mampu bersaing dari segi produktiviti dan bukan subsidi. Jika mereka dapat bersaing dari segi produktiviti, mereka boleh menjadi yang terbaik dan boleh memasuki mana-mana pasaran.

Kita bernasib baik kerana kerajaan masih memberi subsidi untuk bahan api dan elektrik. Namun jika anda melihat negara lain seperti Jepun atau Thailand, mereka tidak mempunyai subsidi namun ekonomi mereka berjalan dengan baik.

S19. Adakah ini akan menjejaskan kedatangan pelabur?

Amirsham: Pada peringkat awal mungkin ada sedikit pengurangan pelaburan swasta kerana syarikat membuat penyesuaian perlu bagi menjadi lebih cekap dan kompetitif dalam jangka pendek. Dalam jangka panjang, keadaan akan stabil.

Hasilnya, Malaysia akan menjadi lebih kompetitif, dan meneruskan trend dua tahun lepas apabila FDI (Pelaburan Langsung Asing) mencatatkan RM 20.22 bilion (2006) dan 33.42 bilion (2007).

Bagi harga gas, ia merupakan perubahan beransur-ansur selama 10 tahun. Kita masih ada kelebihan. Kita mahukan pelabur yang melihat kelebihan di Malaysia.

Kita mempunyai tenaga kerja yang sangat produktif yang berkemahiran tinggi, kita menyediakan pelbagai insentif bagi menarik mereka (pelabur) seperti potongan cukai terutama untuk syarikat-syarikat berteknologi tinggi.

Banyak insentif lain seperti infrastruktur kita yang secara relatifnya baik. Malaysia kini merupakan ekonomi ke-19 paling kompetitif di dunia 2008 (daripada tempat ke-23 tahun lepas), berdasarkan Kad Skor Kompetitif Dunia IMD yang berpejabat di Switzerland (mengatasi Britain, tempat ke-21; Thailand, 27; dan Korea Selatan 31).

Menurut ranking Pembangunan dan Perdagangan Pertubuhan Bangsa Bersatu 2007,Malaysia juga merupakan destinasi pilihan ke-14 bagi FDI.

S20. Sejauh manakah pentingnya kedudukan kompetitif ini?

Amirsham: Ironinya, satu daripada komen agensi penarafan ialah subisidi (sistem) dan defisit bajet negara kita. Ia adalah perkara negatif kepada mereka. Kita boleh buat lebih baik sekiranya kita menghapuskan subsidi.

Disebabkan subisidi kita mengalami defisit (bajet). Mereka berkata,"nampaknya fiskal negara ini ini tidak begitu baik. Jika anda tingkatkan fiskal anda dan penarafan anda akan lebih tinggi."

S21. Sesetengah pengkritik berhujah bahawa harga bahan api Malaysia masih lagi tinggi.Bolehkah Tan Sri jelaskan mengapa Malaysia tidak dapat menetapkan harga bahan apinya seperti di Arab Saudi di mana pengguna mereka membayar harga yang lebih rendah?

Amirsham: Ia merupakan satu perkiraaan yang berbeza. Pertama sekali, rizab mereka juga adalah tinggi. Rizab minyak Arab Saudi dianggarkan pada 266.8 bilion tong dan ini dijangka bertahan sehingga 84 tahun lagi pada kadar pengeluaran semasa negara itu kira-kira 8.8 juta tong sehari.

Secara perbandingannya, Rizab Malaysia dianggarkan bertahan sehingga 22 tahun lagi dan pengeluaran kita hanya 600,000 hingga 7600,000 tong sehari. Jadi agak tidak wajar untuk menjangkakan harga yang sama (di stesen minyak).

Norway merupakan satu lagi negara pengeluar minyak yang rizabnya dijangka bertahan dalam tempoh lapan tahun lagi. Harga runcit petrolnya ialah RM8.81 seliter.

S22. Dengan pengurangan subsidi bahan api, adakah ia bermakna Petronas memberi sumbangan yang kurang kepada kerajaan? Amirsham: Pengurangan subsidi tidak bermakna Petronas lari daripada tanggungjawabnya. Sejumlah 65 peratus keuntungan Petronas kembali semula kepada kerajaan.

Itu bermakna, bagi setiap RM1 keuntungan yang diperoleh Petronas, 65 sen kembali kepada kerajaan. Sejak ditubuhkan pada 1974, Petronas telah memberikan RM336 bilion kepada kerajaan. Petronas dan syarikat berkaitan kerajaan di negara ini bertanggungjawab kepada pemegang kepentingannya - mereka perlu terus membuat pelaburan bagi masa depan.

S23. Bolehkah Tan Sri berikan gambaran bagaimana kerajaan telah membelanjakan dananya? Adakah ia membelanjakan wangnya dengan bijak? Amirsham: Pada 2007, pendapatan kerajaan ialah RM139.9 bilion. Daripada jumlah ini, RM51.1 bilion datang daripada sumber berasaskan minyak (cukai pendapatan petroleum, royalti, dividen daripada Petronas dan duti eksport) manakala baki RM88.8 bilion datang daripada sumber bukan minyak.

Perbelanjaan operasi ialah RM123.1 bilion dan kami mempunyai RM40.6 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Keseluruhannya, jumlah perbelanjaan kerajaan ialah RM163.7 bilion.

Daripada perbelanjaan operasi, RM16 bilion diperuntukkan bagi subsidi untuk rakyat dalam petroleum, padi, buku teks sekolah, baucer tuisyen, biasiswa dan skim pinjaman.

Yang selebihnya, RM108.1 bilion, diperuntukkan untuk mentadbir negara dalam bentuk perkhidmatan dan bekalan, pembayaran kepada kerajaan negeri dan badan berkanun, pembayaran pinjaman, pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan dan pencen, serta lain-lain.

Kami hanya mempunyai RM40.6 bilion bagi pembangunan dan ini disalurkan kepada projek bagi faedah ekonomi dan pembangunan keupayaan seperti pembangunan prasarana dan utiliti awam.

RM20.1 bilion dibelanjakan bagi pertanian dan pembangunan luar bandar, pengangkutan, komunikasi, utiliti awam manakala prasarana sosial seperti sekolah dan pusat latihan, hospital, pembangunan komuniti menyumbang kira-kira RM13 bilion dan selebihnya bagi keselamatan awam (RM5.7 bilion) dan perbelanjaan pentadbiran (RM1.9 bilion).

Oleh itu saya tak nampak yang kami tidak membelanjakan wang secara bijak. Separuh daripada perbelanjaan pembangunan disalurkan kepada pembangunan keupayaan. Hampir satu pertiga disalurkan kepada prasarana sosial.

S24. Bagaimanakah lagi kerajaan boleh memastikan ia berhemat dari segi membelanjakan wangnya?

Amirsham: Perdana Menteri ada menyatakan bahawa lebih banyak projek akan dibuat secara tender agar akan terdapat cara yang lebih baik memastikan harga sebenar.

Tender dirunding akan menjadi lebih terhad. Tender dirunding hanya akan berasaskan kepada penyelesaian khusus yang kami kehendaki dan penting kepada negara ia dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai rekod prestasi yang baik.

Kami sedang berusaha ke arah bidaan yang lebih terbuka dan kompetitif bagi pemerolehan kerajaan agar kami boleh mendapatkan harga kompetitif.

S25. Jadi apakah yang akan dicapai oleh penstrukturan semula subsidi? Amirsham: Penstrukturan semula subsidi akan menghalang ketirisan dalam sistem subsidi dan memastikan hanya kumpulan sasaran seperti golongan miskin dan kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana mendapat manfaat daripada bantuan ini.

Penjimatan yang diperoleh boleh disalurkan semula ke bahagian penting seperti "jaminan makanan" dan projek pembangunan untuk rakyat.

S26. Adakah Tan Sri fikir memandangkan senario ekonomi yang tidak menentu ketika ini, negara mungkin tidak dapat mencapai sasaran pertumbuhan tahunan 6.0 peratus bagi baki tempoh RMK-9?

Amirsham: Meskipun kempen berjimat cermat, kami yakin dapat mencapai sasaran pengurangan kemiskinan untuk mengurangkan kemiskinan kepada 2.8 peratus, dan kemiskinan tegar kepada sifar menjelang 2010. Perdana Menteri memberi jaminan projek antikemiskinan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan akan diberikan keutamaan.

Pertumbuhan mungkin berada pada 5.0 peratus tahun ini, tetapi kami yakin pertumbuhan ekonomi akan pulih semula selepas tempoh penstrukturan semula. IHP terbaru (Mei) meningkat kepada 3.8 peratus, dengan makanan dan minuman alkohol membentuk 89 peratus daripada peningkatan IHP. Inflasi dijangka terkawal pada 4.0 hingga 6.0 peratus tahun ini.

-- BERNAMA

2 comments:

mohad said...

salam.. apa khabar...

Anonymous said...

Hello, Semua orang (Pinjaman Tawaran)
Adakah anda berminat untuk mendapatkan pinjaman @ 2%? Jika ya,? email kami sekarang untuk maklumat lanjut mengenai pinjaman yang anda perlukan sebagai pinjaman. Sekarang sila hubungi kami di: anitacharlesloancompany@mail.com bersama-sama dengan maklumat di bawah.
kami menawarkan dari $ 1,000.00 kepada $ 25,000.000.00 juga memohon untuk maklumat lanjut

{Lengkapkan borang pinjaman di bawah}
Nama anda: ===========
NEGARA: ===========
NEGERI: ===========
ALAMAT: ===========
GENRE: ===========
Jumlah yang diperlukan: ===========
TEMPOH: ===========
BILANGAN TELEFON: =========== =============
Hubungi kami dengan email ini: anitacharlesloancompany@mail.com
Akaun yang lebih baik daripada syarikat yang sah.
Salam
Puan Anita