MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Thursday, June 26, 2008

ABDULLAH HENDAK BAWA PEMBAHARUAN APA..?


RAKYAT SUDAH MENOLAK PEMBAHARUAN ABDULLAH YANG LEBIH BANYAK BAWA MALAYSIA KE BELAKANG DALAM PILIHANRAYA UMUM KE 12 LALU...TULISAN DI BAWAH MENCERMINKAN SIKAP MELAWAN ARUS KEMARAHAN RAKYAT TERHADAP ABDULLAH....

25 Jun, 2008 17:05 PM

Usaha Pembaharuan Oleh Abdullah Perlu Diteruskan

Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang mengharungi satu tempoh yang sukar.

Sebenarnya kesukaran ini turut dirasai ketua kerajaan negeri di seluruh negara tetapi, bagi Perdana Menteri, tugasnya lebih berat ekoran kekalahan paling teruk yang dialami oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mac lepas.

Lawan politiknya yang semakin bertambah di Parlimen tidak putus-putus menyerangnya.

Tidak cukup dengan itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas Abdullah menerusi laman blognya, chedet.com, yang dilaporkan mencatat lebih satu juta hits dalam masa sebulan sejak ia dilancarkan pada 1 Mei.

Dr Mahathir telah mendesak Abdullah, orang yang beliau sendiri pilih sebagai penggantinya, supaya berundur tetapi serangan peribadi daripada bekas bosnya itu membuatkan Abdullah lebih bertekad dan tertumpu kepada tugasnya.

Tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kenaikan harga minyak sedang dirancang oleh PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Di sebalik semua ini, timbul ura-ura pemimpin tidak rasmi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ingin membentuk sebuah kerajaan pusat dengan mengharapkan Anggota Parlimen BN berpaling padah.

Bahkan, Parti Maju Sabah (SAPP) yang kecil itu dengan hanya dua Anggota Parlimen, telah memberontak dan mengancam akan menyokong undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Namun, pada Isnin lepas, Abdullah melangkah keluar dari Parlimen dengan senyuman lebar kerana berjaya melepasi satu lagi ujian apabila satu usul kerajaan diluluskan dengan majoriti besar.

Abdullah telah membuktikan satu perkara -- beliau mempunyai sokongan dan sesiapa saja yang memperkecilkan kemampuan beliau perlulah melihat semula situasi politik semasa.

Bagaimanapun, beliau juga harus menangani satu lagi halangan -- azamnya melaksanakan pembaharuan memerlukan sokongan pemimpin-pemimpin partinya.

Ia ibarat pepatah diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Abdullah faham bahawa generasi Ipod dan Facebook (jaringan sosial laman web) mahukan pembaharuan. Apa tidaknya, lebih 60 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini, berusia di bawah 24 tahun.

Tetapi ada juga padahnya. Beliau bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu klip video V.K.Lingam tetapi pembangkang memanfaatkan isu ini untuk kepentingan mereka.

Abdullah didakwa menjadi punca bagi keputusan itu dan juga status badan kehakiman, yang belum benar-benar pulih daripada krisis pada 1988 yang menyaksikan beberapa hakim dipecat atau digantung perkhidmatan.

Ekoran tsunami politik pada 8 Mac lepas, ada pihak dalam Umno yang mencadangkan agar dikembalikan pemerintahan secara autoritatif seperti yang diamalkan oleh pentadbiran sebelumnya.

Bagaimanapun, Abdullah sebaliknya menjanjikan lebih banyak pembaharuan untuk badan kehakiman. Beliau membenarkan, buat pertama kalinya, persidangan Dewan Rakyat disiarkan secara langsung untuk 30 minit pertama, walaupun ramai pemimpin Umno kurang senang.

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, berhubung penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim mendapat sokongan, walaupun beberapa anggota kabinet tidak bersetuju. Langkah sedang diambil untuk menjadikan Badan Pencegah Rasuah, bebas.

Pada mesyuarat kabinet dan pada satu pertemuan kepimpinan Umno di Shah alam baru-baru ini, editor-editor akhbar dibidas kerana memberi liputan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

"Beberapa pemimpin Umno tidak selesa melihat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam media, yang dimiliki oleh BN, (tetapi mereka ini) lupa bahawa mereka (Pakatan Rakyat) menguasai lima negeri. Jadi, para editor dibidas tetapi PM mempertahankan editor-editor ini," kata sumber.

Perdana Menteri juga bersetuju dengan keputusan membenarkan Parti Keadilan Rakyat menerbitkan akhbar parti itu sendiri.

Abdullah juga melantik Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Maybank yang terkenal dengan ciri-ciri kepimpinan yang bersih dan telus, untuk menerajui Unit Perancangan Ekonomi.

"Amirsham bukan ahli politik. Beliau tidak dapat menjawab dengan baik soalan di Parlimen dan dia juga kurang menonjol dengan media, tetapi dianya seorang yang bersih," kata seorang menteri kabinet.

Ramai yang tidak sedar mengenai keputusan Abdullah memberikan konsesi mengutip tol di Jambatan Pulau Pinang kedua, yang sedang dibina, kepada pembida tertinggi, dan ini menjimatkan RM18 bilion kepada kerajaan dalam tempoh 45 tahun.

Abdullah mempunyai satu imej yang amat mesra dan terlalu mudah bersetuju tetapi mereka yang rapat dengannya tahu bahawa beliau seorang yang tegas.

Berbanding dengan pemimpin terdahulu daripadanya, Abdullah lebih banyak berusaha membawa pembaharuan.

Momentum yang dihasilkannya tidak sepatut luntur kerana sering kali pelaksanaannya didapati tidak menepati sasaran.

-- BERNAMA

No comments: