Mingguan Malaysia Memang Bersuara Rakyat Gitu ...25/5/2008 Wawancara Khas.
segerakan pemulihan
Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan pada Rabu lalu telah bersetuju untuk melaksanakan pelan pemulihan parti itu bagi meraih kembali sokongan rakyat. Setakat ini apa yang terkandung dalam pelan berkenaan masih belum diumumkan.
Bagaimanapun pensyarah kanan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berpendapat, pelan pemulihan berkenaan perlu dilakukan segera dan bukannya menanti pemilihan parti selesai pada Disember ini. Menurut beliau, banyak yang perlu dilakukan dalam usaha untuk memastikan rakyat khususnya orang Melayu kembali menyokong UMNO.
Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia ZULKIFLEE BAKAR dan ZAINU‘L AZHAR ASH‘ARI di Jitra, Kedah semalam, Dr. Mohamed Mustafa menyentuh mengenai perubahan yang harus berlaku dalam komponen Barisan Nasional (BN) dan peri pentingnya ahli-ahli UMNO konsisten dalam perjuangan serta memahami senario politik negara masa kini.
Ini kerana menurut beliau tidak ramai ahli UMNO yang menyedari bahawa konsep yang selama ini membantu BN memerintah negara sudah diciplak oleh pakatan pembangkang. Oleh itu Dr. Mohamed Mustafa mengingatkan bahaya yang menanti BN, kalau kemelut dalaman parti itu tidak diselesaikan segera.
Beliau juga turut memberi pandangan mengenai langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO dan betapa penting isu itu ditangani dengan sebaik-baiknya.
Mingguan: UMNO dilihat berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak kebelakangan ini. Bagaimana Profesor melihat situasi parti itu sekarang?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Kita harus melihat terlebih dahulu senario umum yang berlaku selepas Pilihan raya Umum ke-12. Apa yang berlaku ialah konsep Barisan Nasional (BN) telah berjaya diciplak oleh pembangkang yang menamakan diri mereka sebagai Pakatan Rakyat. Mereka bukan sahaja menciplak malah mereka berjaya menjadikan konsepkonsep ini boleh berfungsi. Walaupun tidak sepenuhnya tetapi sudah sampai ke tahap boleh bekerja dengan agak baik. Apabila ini berlaku ia telah menyebabkan sudah wujud alternatif yang boleh memberikan pilihan kepada rakyat. Inilah senario yang harus UMNO dan BN terpaksa hadapi.
Apabila ia berlaku, BN tidak boleh melihat ini sebagai masalah UMNO sahaja atau mana-mana parti komponen, sebaliknya BN secara keseluruhan berhadapan dengan satu lagi parti yang boleh dijadikan alternatif. Pakatan pembangkang ini berjaya meredakan apa-apa juga perbezaan antara mereka, akibat daripada itu mereka dilihat sebagai satu barisan alternatif yang agak viable (berdaya maju) dan apabila BN sendiri gagal menangani isu-isu nasional sebelum pilihan raya sehinggalah sekarang, maka barisan alternatif ini akan semakin mendapat perhatian, kalau mereka berjaya mentadbir lima negeri yang ditawan dengan baik, waktu itu BN akan berhadapan dengan masalah besar.
Apa yang perlu kita fahami, BN mampu bertahan dalam pilihan raya umum lalu kerana Pakatan Rakyat gagal dikembangkan ke Sabah dan Sarawak sahaja. Ertinya, mereka berjaya membawa semua parti yang boleh memberikan keuntungan kepada mereka di semenanjung ini sehingga mampu mengimbangi kekuatan BN.
Ertinya, pelan pemulihan yang hendak dilakukan oleh BN dan UMNO harus mengambil kira faktor ini?
DR. MOHAMAD MUSTAFA: Sudah tentu, ini kerana mereka hendak bertanding dalam pilihan raya. Mereka harus lihat apakah musuh, halangan dan cabaran yang terpaksa ditempuh. Jadi kalau mereka membuat pemulihan tanpa mengambil kira faktor pakatan pembangkang itu, ia boleh mendatangkan masalah.
Pada pandangan Profesor, apa lagi yang harus diutamakan dalam pelan pemulihan UMNO itu bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Apa yang paling penting ialah kita harus menerima hakikat bahawa perkara pokok yang menjadi persoalan penting ialah kepimpinan. UMNO mesti membuat keputusan yang berani dalam soal ini. Kalau UMNO berpendapat, kepimpinan hari ini mahu dipertahankan kerana dianggap masih boleh berfungsi maka mereka harus melakukan segala-galanya untuk mempertahankannya. Tetapi kalau mereka berpendapat perlu ada perubahan maka ia perlu dilakukan dengan telus. Ertinya diberikan maklumat yang jelas bila peralihan kepimpinan itu akan berlaku kerana ini akan memberikan sedikit ketentuan kepada ahli UMNO dan masyarakat.
Mungkin tindakan ini dilihat akan menyebabkan kita mempunyai kepimpinan yang lemah tetapi kita mesti telus. Kalau ini tidak berlaku, ia akan mewujudkan ketidakpastian bila ia akan terjadi. Ini akan menyebabkan orang berteka-teki sehingga mereka mengambil sikap tunggu dan lihat, di depan bercakap lain di belakang bercakap lain. Semua ini hakikatnya tidak akan membantu UMNO dalam konteks untuk mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dengan keyakinan terhadap parti itu.
Apa yang Profesor maksudkan mempertahankan kepimpinan dengan bersungguh-sungguh itu?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Maksud saya, kalau benar-benar mereka mahu mempertahankan kepimpinan yang ada hari ini, mereka harus berjuang habis-habisan. Jangan mengamalkan sikap sokong ‘separuh-separuh sahaja’ atau ‘hendak tak hendak sahaja’ sehingga seolah-olah membiarkan presiden parti mempertahankan diri sendiri. Saya tidak percaya kepada perakuan-perakuan yang dibuat untuk menyokong mana-mana pemimpin. Oleh itu saya berharap kepimpinan UMNO tidak terlalu yakin dengan perakuan politik menyokong kepimpinan kerana dalam politik ia tidak membawa apa-apa makna. Justeru pemimpin dan ahli UMNO harus jujur kalau mereka benar-benar ingin mempertahankan kepimpinan sedia ada.
Bagaimana dengan komponen BN?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Bagi saya bukan sahaja UMNO memerlukan perubahan, malah parti-parti komponen juga berdepan dengan kemelut yang sama. Mereka juga berhadapan masalah kehilangan penyokong dan tidak lagi diyakini oleh ahli mereka dan pengundi. Atas sebab itulah saya melihat, pelan pemulihan UMNO harus mengambil kira pelan pemulihan BN secara keseluruhannya. Saya lihat parti seperti Gerakan, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan MIC mungkin tidak sesuai lagi untuk berdiri sendiri dengan adanya Pakatan Rakyat melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang semakin mendapat sokongan rakyat.
Bagi saya, tidak keterlaluan jika saya berpendapat adalah lebih baik ketiga-tiga parti berkenaan digabungkan menjadi satu parti dan ini akan membantu BN berhadapan dengan PKR dan DAP dengan lebih berkesan. Ertinya, UMNO akan berhadapan dengan Pas manakala MCA akan berhadapan dengan DAP.
Dalam pelan pemulihan UMNO apa lagi yang harus dilakukan?
DR.MOHAMED MUSTAFA: UMNO harus melihat bahawa mereka sudah kehilangan lima negeri, jentera kerajaan di pejabat Menteri Besar (MB) tidak boleh lagi membantu UMNO untuk membina kekuatan. Dulu UMNO ada peruntukan kerajaan, ada projek pembangunan dan program-program yang ditunjangi oleh kerajaan negeri untuk mendekatkan mereka dengan pengundi. Sebab itu, apa yang paling penting dilakukan oleh UMNO sekarang ialah mengaktifkan pejabat-pejabat UMNO negeri-negeri menjadi ‘wisma negeri’ yang baru. Maknanya, operasi UMNO mesti bermula daripada situ, seluruh kekuatan UMNO mesti digemblengkan di pejabat UMNO itu dan Ketua Perhubungan Negeri haruslah bertindak seolah-olah menjadi Menteri Besar UMNO.
Selain itu mesyuarat perhubungan negeri juga harus diadakan lebih kerap, manakala hubungan dengan bahagian-bahagian mesti rapat. Ini kerana kita tahu bahawa UMNO di peringkat bahagian berpecah, masing-masing ada ‘warlord’ sendiri. Ini terjadi hampir di semua bahagian, justeru kalaulah keadaan ini berterusan ia boleh membahayakan UMNO. Oleh itu menjelang Julai ini, jika tidak ada sesuatu dilakukan oleh UMNO negeri, parti itu akan berada pada kedudukan paling lemah. Ia disebabkan ketika itu seluruh kekuatan UMNO akan ditumpukan kepada soal pemilihan dari peringkat cawangan hinggalah ke pusat, bukannya soal menguatkan parti.
Kalau melihat kepada perkembangan itu, bilakah waktu paling sesuai untuk UMNO melaksanakan pelan pemulihannya?
DR. MOHAMED MUSTAFA: UMNO tidak boleh menunggu sehingga selepas pemilihan pada Disember ini bagi melaksanakan pelan pemulihannya. Bagi saya, jika itu dilakukan ia bukanlah satu langkah yang bijak kerana masa tidak menyebelahi UMNO. Pemulihan itu harus bermula sekarang dan mesti dijelaskan kepada ahli UMNO dan rakyat apa yang sedang parti itu lakukan. Selepas selesai masalah di peringkat parti, UMNO harus membantu pula selesaikan masalah parti-parti komponen kerana tanpa sokongan parti berkenaan, mereka akan mengulangi kekalahan dalam pilihan raya yang lepas.
Parti-parti komponen harus menarik sokongan bukan Melayu kepada UMNO, ini yang berlaku dalam pilihan raya lepas apabila MCA, MIC dan Gerakan gagal menarik sokongan bukan Melayu kepada BN sehingga menyebabkan parti itu kalah di kawasan-kawasan campuran. Dulu pilihan raya kita berasaskan kepada kawasan luar bandar lebih banyak dari kawasan bandar tetapi sekarang oleh kerana proses pembangunan, kawasan campuran ini sama banyak dengan kawasan luar bandar.
Trend pengundi bandar tidak sama dengan pengundi luar bandar, UMNO kena faham bahawa mereka sedang berhadapan dengan penghuni bandar yang tidak terikat dengan servis UMNO. Contohnya, mereka tidak perlu wakil rakyat kalau ada masalah, mereka berdikari tidak seperti di luar bandar.
Atas sebab itulah keperluan terhadap UMNO di kawasan bandar ini oleh rakyat tidak begitu dirasakan, sebab itu sama ada wakil rakyat itu dekat atau jauh dengan mereka ia tidak menjadi isu, di bandar mereka bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti. Sebab itu UMNO kena faham pemikiran dan cita rasa pengundi bandar.
Dalam pemulihannya siapa lagi yang harus UMNO temui?
DR. MOHAMED MUSTAFA: UMNO harus berjumpa dengan ‘special interest group’ secara berperingkatperingkat bagi menjelaskan senario sekarang dan apakah yang UMNO rancang untuk masa depan. Ini termasuklah berjumpa dengan pegawaipegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta. Pertemuan ini harus dilakukan secara konsisten dan kerap supaya tidak ada mana-mana kumpulan atau kelompok yang dipinggirkan. Pertemuan ini penting kerana UMNO tidak boleh bergantung kepada media arus perdana bagi mendekati mereka. Ia tidak mencukupi, sebaliknya haruslah ada usaha daripada UMNO pusat dan negeri untuk melakukan pertemuan berkenaan bagi mendengar keluhan, kehendak dan aspirasi mereka serta berusaha untuk memahami mereka.
Melalui cara itu, UMNO akan dapat memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka bahawa UMNO ‘sedang berubah dan mendengar’ serta mengambil tindakan-tindakan untuk membantu mereka. Bagaimanapun setakat ini, saya melihat tiada perjumpaan dilakukan dengan ‘special interest group ini’ dan badan perhubungan negeri belum digerakkan dengan berkesan, begitu juga dengan beberapa isu berbangkit lain masih belum ditangani.
Melihat situasi sekarang, saya berpendapat tidak semua bahagian-bahagian UMNO yang faham tentang senario baru yang sedang mereka hadapi iaitu konsep BN telah diciplak oleh pembangkang dan boleh menggugat UMNO. Apa yang perlu difahami selama ini kejayaan UMNO adalah disebabkan oleh konsep BN tetapi sekarang konsep berkenaan sedang diciplak. Jika UMNO terus menggunakan strategi yang sama sedangkan pembangkang yang menciplak konsep itu melakukan dengan lebih baik ia boleh membahayakan mereka. Justeru pemulihan UMNO tidak akan berkesan, selagi ahli-hali UMNO tidak memahami senario yang berlaku.
Bagaimana dengan kualiti kepimpinan, apakah ia turut harus menjadi agenda utama pemulihan UMNO?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Perkara pertama, sama ada kita hendak mengakui atau tidak, kebanyakan pemimpin UMNO yang ada sekarang diragui integritinya. UMNO dilihat sudah hilang sentuhan bagi merasai denyut-denyut nadi rakyat bawahan. Contohnya, bila harga barang naik, ada pemimpin suruh ubah cara hidup, bila harga beras naik suruh makan nasi sehari sekali. Itu bukan penyelesaiannya. Ini menyebabkan UMNO dilihat mengambil penyelesaian terlalu mudah terhadap masalah-masalah rakyat, seolah-olah rakyat boleh disogokkan apa juga, rakyat boleh dileteri atau diberitahu apa yang sepatutnya mereka buat. Ini bukan masanya untuk itu.
Semua ini hanya mengakibatkan UMNO akan didakwa tidak memahami kesusahan hidup rakyat. Atas sebab itu isu-isu nasional ini mesti ditangani dengan baik dan UMNO sebagai tulang belakang kerajaan harus menunjukkan bahawa mereka bersama rakyat merasai kesusahan itu dan bukannya kembali menyalahkan rakyat. Langkah kedua yang perlu dilakukan oleh UMNO dalam soal kepimpinan ini ialah, melahirkan pemimpin-pemimpin berwibawa. Bagi saya, pemilihan UMNO kali ini di semua peringkat adalah peluang terbaik UMNO untuk membersihkan UMNO daripada sebarang anasir yang boleh dikaitkan dengan rasuah, mempunyai moral dan integriti yang rendah. Oleh itu UMNO mesti berani menolak pemimpinpemimpin seumpama itu.
Bagaimana pula Profesor melihat kesan kepada UMNO dan BN berikutan langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Dr. Mahathir mempunyai matlamat khusus. Bagi saya, ini adalah langkah taktikal beliau. Beliau pasti mempunyai matlamat lain bukan sekadar keluar UMNO sahaja. Oleh itu UMNO harus faham kenapa Dr.Mahathir bertindak demikian.
Tindakan mengecam, perlekeh atau dilihat menghina Dr.Mahathir tidak akan membantu UMNO untuk pulih. Ini kerana Dr.Mahathir adalah ikon dalam politik Malaysia. Beliau menjadi ikon sama ada di kalangan orang muda mahupun rakyat Malaysia. Malah kita sudah meletakkan beliau sebagai seorang tokoh yang menjadi kebanggaan negara.
Kalau hari ini kita mempertikai atau memperkecilkan beliau, ini tidak akan membantu memulihkan UMNO kerana Dr. Mahathir diterima sebagai ikon penting dalam politik Malaysia. Atas sebab itulah pelan pemulihan UMNO harus mengambil impak tindakan Dr. Mahathir ini. Maknanya tidak akan berlaku pemulihan yang berkesan dalam UMNO jika faktor Dr.Mahathir diabaikan.
Maknanya, dalam pemulihan ini, UMNO harus memahami senario yang sedang mereka hadapi sama ada hari ini atau akan datang dan memahami faktor Dr.Mahathir ini bukan faktor kecil. Sebabnya, kalau Dr.Mahathir berada di luar UMNO, beliau mempunyai platform yang lebih luas untuk menyampaikan pandangannya bagi mengkritik kerajaan. Saya yakin pihak pembangkang akan mengeksploitasikan sepenuhnya kedudukan Dr. Mahathir di luar UMNO untuk terus melemahkan BN. Kita harus ingat ada lima negeri yang dikuasai oleh pembangkang dan mereka sudah pasti bersedia bila-bila masa memberi tempat kepada Dr. Mahathir untuk bercakap dan mengkritik kepimpinan kerajaan.
UMNO tidak mungkin akan dapat menghalang kerana kelima-lima negeri itu pembangkang ada kuasa. Dr. Mahathir sudah menyatakan beliau tidak menyokong pembangkang tetapi antara beliau dan pembangkang, mereka mempunyai persamaan iaitu tidak menyukai kepimpinan UMNO hari ini. Atas sebab itu, saya tidak nampak Dr. Mahathir dan pembangkang mempunyai masalah untuk bekerjasama. Ini yang harus UMNO lihat dan jangan ambil mudah dengan tindakan yang dilakukan oleh Dr.Mahathir. Mungkin sehari dua ini tidak ada kesan tetapi dalam tempoh jangka panjang ia akan mempunyai kesan yang amat buruk terutama sekali apabila UMNO berusaha untuk merayu kepada pengundi dan penyokong BN yang sudah lari.
Apa yang harus UMNO lakukan dalam menghadapi situasi ini?
DR. MOHAMED MUSTAFA: UMNO harus menyelesaikan masalah Dr. Mahathir ini. Ia sebenarnya adalah salah satu daripada proses pelan pemulihan UMNO. Mereka tidak boleh menganggap tanpa Dr.Mahathir ia akan lebih mudah untuk menjaga UMNO, bagi saya tanggapan ini tidak betul. Kalau ada pemikiran seperti ini UMNO tidak akan mampu dipulihkan seperti yang diharapkan. Saya memahami isu Dr. Mahathir ini tidak mudah ditangani. Apatah lagi Dr.Mahathir seorang yang berprinsip. Oleh itu UMNO mesti mencari jalan untuk memuaskan hati beliau dan mencapai kompromi.
Kalau itu berjaya dibuat dengan memberi keyakinan kepada beliau bahawa apa yang beliau mahukan itu boleh dicapai tetapi bukan mengikut syarat yang beliau mahukan barangkali akan mengendurkan sedikit keadaan dan mungkin beliau akan terima. Apa pun UMNO harus mengambil serius isu Dr. Mahathir ini.
Bagi saya, adalah lebih baik jika UMNO memikirkan untuk mewujudkan Council of the Elders yang tidak perlu ada kuasa eksekutif tetapi bertindak sebagai badan penasihat kepada Majlis Tertinggi dan barisan kepimpinan UMNO semua peringkat.
Majlis ini harus sentiasa dirujuk dan ia dianggotai oleh bekas pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO bermula dari Presiden sehingga Naib Presiden. Saya fikir dengan adanya majlis ini, UMNO akan menjadi lebih kuat. Ini kerana UMNO akan mendapat nasihat daripada tokoh-tokoh veterannya yang ketika ini khidmat mereka seolah-olah tidak digunakan.
Apa kesannya jika UMNO dan BN terus bergelut dengan masalah politik dalamannya?
DR. MOHAMED MUSTAFA: Ia akan menghakis keyakinan rakyat kepada konsep BN dan jika itu terjadi jangan salahkan rakyat jika mereka tidak lagi mempercayai BN. Sebab itu BN dan UMNO mesti menyelesaikan masalah rumah tangga sehingga ia menjadi sebuah parti yang tidak lagi dibebani dengan masalah dalaman. Ini kerana rakyat tidak akan yakin dengan sebuah parti yang terus bergelut dengan masalah dalaman termasuklah dari segi berpuakpuak dan kepimpinannya dipertikaikan.
Saya juga berpendapat UMNO di bahagian dan negeri harus mengamalkan politik ‘hemoi’ ertinya janganlah kita sombong dengan rakyat. Budaya pemimpin baru meninggi diri dan seolah-olah tidak mempedulikan pengundi ketika pilihan raya bukan satu sikap yang boleh membantu UMNO. Atas sebab itu, saya mencadangkan UMNO kembali kepada sikap asalnya iaitu mengamalkan politik ‘hemoi’ itu yang hakikatnya sudah diamalkan oleh parti pembangkang di mana mereka berjumpa dengan rakyat.
No comments:
Post a Comment