MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Wednesday, November 26, 2008

BAHASA MELAYU BUKAN SEKADAR BAHASA PERCAKAPAN


'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'

PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing

Sunday, November 23, 2008

Bezakan di antara usaha mempelajari sebarang bahasa lain dan dasar pembelajaran yang memakai dua bahasa sebagai pengantaraan (medium of instruct)


Bahasa sebagai wadah pupuk perpaduan

Oleh Profesor Diraja Ungku A Aziz

Pendekatan 3 penjuru pastikan pembelajaran rakyat pelbagai kaum berkesan

PERPADUAN negara adalah landasan membentuk negara Malaysia yang kukuh. Maka, isu pembelajaran perlu terpilih sebagai pengaruh terpenting demi pencapaian perpaduan negara itu. Inti pati pelaksanaan dasar itu ialah pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Pencapaian perpaduan negara yang tulen hanya boleh termakbul melalui wahana bahasa Melayu. Namun demikian bahasa Inggeris perlu dipelajari supaya segala faedah globalisasi dapat dinikmati seluruh warga Malaysia.

Kelebihan pendekatan pembelajaran melalui dua bahasa akan tercapai daripada saling pengaruh-mempengaruhi minda (pemikiran) pelajar apabila mereka berpeluang mempelajari sistem itu dalam masa yang sama. Kaedah itu akan menggalakkan minda kanak-kanak serta orang dewasa yang akan memanfaatkan kemudahan berfikir dari ingatan (memori) mereka.

Kefasihan dalam bahasa Melayu dan kemahiran dalam bahasa Inggeris serta pengaruh pengetahuan dua bahasa yang saling mempengaruhi (integrative) adalah kunci utama kejayaan pelaksanaan perpaduan negara.

Sungguhpun tidak dinafikan kemahiran dalam bahasa Inggeris paling penting demi pembangunan ekonomi dan perdagangan, pada masa sama sangat mustahak satu bahasa iaitu bahasa Melayu boleh mengikat bersama semua warga Malaysia tanpa mengira lokasi, kota atau desa, bangsa atau kepercayaan demi memupuk patriotisme dan jati diri warga Malaysia.

Dua bahasa itu, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris harus diajar dan dipelajari sepanjang masa sebelas tahun di sekolah rendah dan menengah dan di mana boleh, tahun pertama pada peringkat universiti. Pembelajaran bahasa demi pembentukan perpaduan negara harus dianggap serius dan bukan dilayan dengan sikap melepaskan batok di tangga. Mata pelajaran kedua-dua bahasa harus dipelajari dua kali seminggu sepanjang sistem pelajaran.

Pembaca harus insaf bahawa kefahaman yang lengkap mengenai tatabahasa dan nahu dalam kedua-dua bahasa sama penting dengan kefahaman kosa kata (vocabulary) dan penyusunan rangkai kata (phraseology) mengikut pemakaian umum.

Dari awal persekolahan, setiap pelajar harus diajar kaedah menulis huruf yang tepat dan betul (chirography) supaya dari hari pertama di sekolah, pelajar akan dilatih menulis huruf dengan gaya yang seragam. Sekarang ada banyak pelajar menulis huruf abjad dengan aneka rupa yang kadang-kadang sukar dibaca.

Guru dan pemimpin politik perlu sedar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris masing-masing terdiri daripada peraturan susunan kata yang menjadi frasa dan frasa menjadi ayat (syntax) dan latar belakang sejarah masing-masing. Berikutan itu, setiap bahasa itu perlu dipelajari mengikut kesesuaian bahasa masing-masing.

Pemangkin bahasa Melayu adalah prinsip imbuhan. Seratus empat puluh tahun dulu, penulis Kamus Bahasa Melayu, William Marsden telah memperkenalkan pema-kaian imbuhan dalam bahasa Melayu sebagai particles atau tambahan. Ada suku kata awalan (prefix), suku kata akhir (suffix) dan suku kata sisipan (infix).

Contohnya seperti awalan kata pe, mer, ber dan sebagainya; suku kata akhir kan, kan...i dan sebagainya; dan suku kata sisipan em, er dan sebagainya.

Makna ayat juga boleh ditentukan mengikut tempat letak kata itu. Umpamanya, 'rumah merah' dibandingkan dengan bahasa Inggeris, red house.

Ada juga perkataan istimewa untuk menunjuk fungsi tempat (place), satuan (singularity) dan jamak (plurality).

Pemakaian imbuhan dalam bahasa Melayu mudah difahami. Kajian dalam Kamus Imbuhan Bahasa Melayu (terbitan Fajar Bakti 2005) membuktikan 95 peratus daripada jumlah kata di dalam kamus berkenaan ada gabungan dengan imbuhan. Daripada kajian 2,323 kata asas (base words) yang terdiri daripada kata nama dan kata kerja 11,405 daripadanya memakai imbuhan.

Kebanyakan perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada sepasang konsonan yang bersangkut dengan vokal (vowel).

Bagaimanapun, kita tidak ada kesempatan membincangkan bahasa Melayu dari segi kajian terperinci. Perlu difahami kedua-dua bahasa itu mempunyai latar belakang sejarah yang berlainan, lebih dari seribu tahun. Asal-usul kedua-dua bahasa itu berlainan. Namun demikian, kedua-dua bahasa itu mempunyai kuasa menyerap dengan mudah bahasa berlainan sama ada ia datang dari timur atau barat.

Sungguhpun tatabahasa (syntax) dan susunan bahasa (phraseology) berlainan, mujurlah bahasa itu mudah didengar pada telinga serta mudah disebut secara lisan. Ini adalah manfaat besar bagi pembangunan bahasa di Malaysia dan pengukuhan perpaduan negara.

Ada dua perkara lagi yang memerlukan penjelasan iaitu kedua-dua bahasa itu harus dipelajari sehingga tahap boleh difahami dan diguna pakai dengan kemahiran yang sama baiknya. Tahap itu adalah pada peringkat pertengahan sekolah menengah, yakni membaca, menulis dan bertutur dengan fasih.

Soal pemilihan tajuk atau mata pelajaran perlu diagihkan di dalam kurikulum atau mata pelajaran yang mengikut penentuan jadual (timetable).

Semua pelajar di Malaysia wajib diberi peluang mempelajari selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, termasuk bahasa ibunda masing-masing. Ini menjadi perkara sensitif di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Namun perlu dibezakan di antara usaha mempelajari sebarang bahasa lain dan dasar pembelajaran yang memakai dua bahasa sebagai wahana perantaraan (medium of instruction).

Sistem pendidikan Malaysia kurang mendapat perhatian mengenai hubungan sebab musabab (causality) di antara pembangunan minda kanak-kanak dengan perkembangan ilmu pengetahuan yang bertimbun tambah dan kebolehan kanak-kanak itu yang sedang membesar dan mengembangkan fikirannya.

Pelajar di sekolah rendah boleh diajar kata nama (noun) dan kata kerja (verb) yang mudah yang terdiri daripada dua atau tiga suku kata. Sambil pelajar itu bertambah matang, mereka boleh mempelajari fikiran atau gagasan (idea) yang lebih canggih yang berkait dengan kata nama serta kata kerja yang lebih rumit.

Pemikiran pelajar boleh dimajukan daripada kata maujud (concrete) kepada kata mujarad (abstract) dan daripada ayat atau frasa yang mudah difahami kepada ayat yang lebih rumit atau canggih.

Ada baiknya jikalau sistem pelajaran Malaysia memberi perhatian lebih fokus kepada pendekatan deduktif daripada pendekatan induktif. Sekarang guru dan pelajar mengenal makna dan fikiran daripada pelbagai contoh dan kurang menumpukan perhatian kepada prinsip atau hukum pemikiran. Umpamanya, pelajar diberi pelbagai contoh ayat tetapi tidak mengenal hukum atau prinsip yang mendorong minda pelajar dan guru. Adalah disyorkan supaya pelajar diberi peluang mengenal hukum, peraturan atau nilai asas dan kemudian pelajar itu kepada contoh makna perkataan dan ayat.

Kaedah ini akan lebih sabit di akal (rasional) dan munasabah dalam sistem pembelajaran yang syumul atau holistik.

Kesimpulannya ialah perpaduan negara akan lebih mudah dan lebih kekal tercapai jikalau pendekatan ini dibahagikan kepada tiga tahap iaitu pemikiran, pembelajaran dan pemakaian.

Sementara itu mungkin ada pembaca yang cuba menegakkan benang basah dengan teguran negatif atau pesimis sambil ia cuba membenam cadangan ini dengan hujah berasaskan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui kaedah dua bahasa (bilingualism) terlalu idealistik dan kurang pragmatis.

Sungguhpun pembaca budiman harus mengkaji butir-butir cadangan kertas ini, mereka tidak harus terjerumus atau sesat dalam hutan rimba yang mengutamakan perhatian kepada soal daun dan ranting dan tidak kepada akar umbi.

Satu daripada jebak paling berbahaya terhadap cadangan ini ialah pengkritik yang berhujah, "Cadangan ini baik, tetapi memerlukan masa lama atau memerlukan fikiran yang terlalu canggih atau sukar difahami". Kumpulan penyokong ini termasuklah orang akademik yang suka berdebat dan berdialog sebagai kegiatan yang tidak membina langsung.

Kepemimpinan akademik tidak harus terjerumus di dalam logomaki (logomachy) iaitu konfrontasi mengenai makna perkataan. Pendekatan pemilihan eksklusif hanya akan membawa kepada konfrontasi "zero-sum" atau jalan buntu.

Sikap suka bertikam lidah tanpa hasil membina atau 'logomachy' mungkin ada hubungannya dengan amalan sikap suka bertengkar di antara satu sama lain tanpa pencapaian hasil yang positif!

Maka, langkah pertama ialah meyakinkan pemimpin politik serta golongan elit profesional bahawa rancangan ini boleh dilaksanakan, kemudian pelajar, guru dan ibu bapa boleh turut bersama. Jikalau tidak, ilmu pedagogi, pembelajaran di Malaysia akan terjerumus ke dalam terowong jalan buntu. Ini mungkin akan dikenali sebagai "Pedagogi di Alam Ajaib" (Pedagogy in Wonderland). Pembaca boleh rujuk kepada buku Alice in Wonderland yang dikarang oleh Lewis Carroll yang diterbitkan 170 tahun dulu yang masih terkenal oleh ramai penganut sastera Inggeris.

Kekurangan ruang menghalang penulis daripada penghuraian lanjutan mengenai perkara sampingan seperti pembelajaran dalam bahasa ibunda yang definisinya masih kabur.

Akhlak, kepercayaan serta pelajaran agama dan pelajaran mengenai ilmu keusahawanan juga harus ditimbang sebagai mata pelajaran penting dalam susunan mata pelajaran sekolah di Malaysia.

Peluang untuk latihan jasmani harus disediakan untuk semua pelajar tanpa mengira umur atau jantina, mengikut falsafah "pembinaan minda yang sihat wujud di dalam badan yang sihat".

Isu sensitif yang sedang memecah-belah masyarakat Malaysia kepada tiga jurang harus dihadapi dengan tenang dan perkasa. Sebenarnya aliran budaya dan pelajaran di Malaysia lebih dipengaruhi kuasa yang cenderung bergerak ke arah luar dari pusat. Ini berlawanan dengan kuasa bergerak ke arah pusat atau paksi.

Berikutan itu, perpaduan negara sentiasa terancam oleh pertumbuhan tekanan di mana kesannya lebih kepada pengaruh yang memecah-belah dan tidak berfungsi.

Manfaat paling baik akan tercapai daripada pengukuhan perpaduan negara melalui pendekatan tiga segi di dalam pembelajaran dua bahasa serta sistem dwibahasa.

Sambil memperkukuh dan meluaskan kosa kata (vocabulary), semua pelajar dan ibu bapa serta guru harus berusaha membuka pintu, tingkap minda dan jarak ufuk budaya dengan harapan bahawa mereka akan mengenal pelbagai bidang pengetahuan, sains dan sastera dalam kedua-dua bahasa termasuk sumber dari bahan terjemahan daripada pelbagai bahasa kepada kedua-dua bahasa itu.

Tabiat membaca harus dinikmati bukan saja untuk kejayaan di dalam peperiksaan, tetapi juga demi penghayatan membaca kerana keseronokannya.

Kepentingan relatif pelbagai mata pelajaran boleh difikirkan selepas tesis yang dianjurkan ini diterima oleh umum. Umpamanya ini bukan masa untuk membuat keputusan sama ada ilmu Sejarah harus dijadikan mata pelajaran wajib berbanding mata pelajaran Biologi atau Geografi!

Tujuan paling penting ialah mencapai kecekapan dalam dua bahasa. Perkara lain boleh diputuskan berdasarkan pemikiran yang munasabah (rasional) tanpa emosi (objektif) yang bukan berdasarkan hujah teori saja.

Peranan guru harus diberi penghormatan yang lebih jika dibandingkan dengan jawatan lain dalam perkhidmatan awam. Pangkat guru harus diberi keutamaan dalam masyarakat, ganjaran lebih menarik serta gelaran yang setaraf dengan perkhidmatan awam supaya ibu bapa dan pemimpin politik boleh memberi sambutan sewajarnya.

Keselamatan dan pembangunan Malaysia memerlukan tindak balas yang jelas, telus dan proaktif supaya masalah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam konteks dua bahasa dapat dijayakan.

Cadangan yang dikemukakan ini membuka peluang untuk semua warga Malaysia menerima satu perubahan pokok yang pasti memuaskan keseluruhan warganya.

Kesimpulan :

Dasar Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris tidak sesuai dan tidak wajar dilaksanakan diperingkat rendah dan menengah dan kerana kebanyakan pelajar pada peringkat tersebut masih belum mahir pembelajaran bahasa Inggeris.

Mantapkan pengajaran bahasa Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bukan seperti melepaskan Batuk Di Tangga.

Usaha menguasai Bahasa Inggeris memakan masa. Apabila mereka sudah mahir,barulah mereka boleh memahami sesuatu ilmu itu dengan mudah.

Hasil soal selidik....kebanyakan murid dan guru di peringkat rendah dan menengah lebih selesa dan mudah faham belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sendiri.

Kerajaan seperti keliru dan gagal membezakan di antara usaha mempelajari sebarang bahasa asing dan dasar pembelajaran yang memakai dua bahasa sebagai Medium of Instruct (Wahana Pengantaraan).


Friday, November 21, 2008

APABILA KAUM INDIA DAN KAUM CINA JOLOK SARANG TEBUAN MELAYU....


Sejarah tidak tipu fakta


Dr. RAIS Yatim menerima tepukan gemuruh selepas menyampaikan ucaptama yang bertajuk Hak-Hak Pribumi Dalam Perundangan Dan Perlembagaan Negara di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

21/11/2008 Jumaat Utusan Malaysia.

SESUNGGUHNYA fakta sejarah tidak dapat menafikan kewujudan kaum Melayu dan kegemilangan tamadun serta budayanya di kepulauan Nusantara terutama di Semenanjung Tanah Melayu.

Justeru kata-kata yang seakan-akan menidakkan asal-usul orang Melayu di Kepulauan Nusantara sememangnya telah mengguris perasaan kaum itu.

Lantas, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang terkenal sebagai pejuang budaya terutama dunia keMelayuan dengan lantang menangkis segala cemuhan dan penghinaan terhadap orang Melayu itu dengan menghidangkan fakta sejarah yang tidak mungkin dapat disangkal sesiapapun.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn baru-baru ini, Rais penuh bersemangat berkata, orang Melayu dan pribumi kini seharusnya meneliti semula kedudukan dari dua aspek iaitu sejarah dan perundangan kerana kedua-duanya amat berkait rapat.

Ujarnya, fakta sejarah boleh dianggap faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.

"Ini seperti mana India adalah negeri orang berketurunan bangsa India yang stok asalnya berunsur Dravidian, orang Arab di Timur Tengah. Bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun lalu mendiami dan mewarisi negara China atau seperti mana England didiami Anglo-Saxon," katanya.

Tambahnya lagi, seperti Christoper Colombus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang sarjana Cina yang menetap lama di Palembang sekitar 671 Masihi, menggunakan istilah 'Moloyu' sebagai merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu.

Menyebut

Kewujudan awal orang Melayu di kawasan itu diperkuatkan lagi apabila pengembara dan peniaga Arab pada abad ke-7 juga ada menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dalam catatan mereka.

Jelas Rais, pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka Melaka pada 1403, pedagang Cina mula pesat di negeri itu selepas pelayaran Cheng Ho manakala masyarakat Nyonya Baba dipercayai mula bertempat selepas 1413.

"Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan ialah Melayu merupakan penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah.

"Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup bukti, 'Sejarah Melayu' penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu," katanya.

Di zaman Inggeris bertapak di Semenanjung antara 1874 hingga 1957, tenaga buruh dari India dan China dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka.

Buruh India dibawa masuk untuk melakukan kerja di sektor kerja raya, perladangan getah dan perkeranian manakala kaum Cina pula untuk memenuhi sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri-negeri Selat.

"Jadi untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah dan Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur," kata Rais lagi.

Menyentuh mengenai hak orang Melayu, Rais berkata, mujur kaum itu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Menurutnya, apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan institusi tradisional tersebut yang sentiasa rapat dengan 'psyche keMelayuan' dan secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lainnya sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu.

"Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata orang Melayu mempunyai hak mereka dalam pewaris kepada tanah ini," katanya.

Manakala dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan penjahat komunis cuba merampas Malaya.

"Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut," katanya.

Tambahnya, perjanjian itu sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak akan disia-siakan dan ia menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: "Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukkan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu".

Kata Rais, ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu.

Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan walaupun ia telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama, ujar Rais.

Sebagai seorang yang arif mengenai undang-undang, Rais menerangkan lagi, setiap perlembagaan sesebuah negara mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa tetapi hanya melalui kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat.

Menyelusuri fakta-fakta sejarah itu, Rais menegaskan satu rumusan perlu difikirkan bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi supaya masa depan anak cucu tidak diganggu gugat serta mereka tidak tercari-cari tentang haluan dan kedudukan bangsa sendiri.

Di satu sudut, Perlembagaan negara dengan kontrak sosial juga perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan seolah-olah menolak isi kandungan yang telah sedia dibentuk.

Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman memperjelaskan bahawa konsep kontrak sosial memberi pengertian tertentu terutama hubungan antara negara dengan rakyat dan warganegara serta tiada kaitan dengan hubungan antara kaum.

Keistimewaan

"Dalam konteks falsafah politik, perkataan kontrak sosial berkait rapat dengan tolak ansur berhubung pertukaran tanggungjawab masyarakat sivil dengan jaminan keselamatan dan keistimewaan oleh negara atau kerajaan.

"Konsep ini adalah suatu teori yang lama dan telah diguna pakai oleh tokoh-tokoh falsafah Barat seperti Plato, Hocker, Hobbes dan lain-lain," katanya.

Bagaimanapun, Abd. Aziz berkata, konsep tersebut nampaknya telah diberi pengertian berlainan di negara ini di mana ada sesetengah orang mengatakan perkataan itu ada kaitan dengan tolak ansur yang dicapai dalam perundingan kemerdekaan dalam tahun 1956 dan 1957 antara kaum Melayu, Cina dan India.

Katanya, ada juga pihak mengatakan perkataan kontrak sosial mula timbul dan diguna pakai dalam tahun 1980-an dan diberi erti oleh mereka sebagai isi persetujuan yang dicapai oleh UMNO, MCA dan MIC semasa mereka mula-mula berunding dengan pihak British dan Raja-Raja Melayu untuk mencapai kemerdekaan.

Walau apa pun pengertian kontrak sosial, apa yang penting adalah isi kandungan Perlembagaan negara yang seharusnya difahami rakyat serta menghormati segala peruntukan di dalamnya dan tidak mempertikaikannya, ujar Abd. Aziz.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula memperkuatkan lagi perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu pada wacana itu dengan menggariskan beberapa agenda yang akan diberi perhatian oleh pertubuhan itu.

"Perkasa meletakkan lima asas dalam Perlembagaan negara yang akan menjadi perjuangan berterusan pertubuhan ini bagi memastikan hak orang Melayu dan pribumi dipertahankan," katanya.

Perkasa mencadangkan supaya kedudukan tanah rezab Melayu diberi perlindungan di bawah kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perkara 159 fasal 5, menyarankan hal-hal berkaitan melibatkan kuasa mahkamah syariah pada Perkara 121 (1A) diperjelas, diperkasakan serta terus dilindungi.

Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga menuntut supaya dilaksanakan penggunaan sepenuhnya bahasa Malaysia dalam segala urusan dan kehakiman negara melalui Perkara 163 dan 167 dan menggesa pihak kerajaan sentiasa memandang serius serta memperkasa hak-hak orang Melayu dan pribumi seperti yang terkandung dalam Perkara 153.

Kuasa raja-raja Melayu juga akan turut menjadi agenda pertubuhan itu yang mahu kerajaan memastikan Perkara 66 itu kekal mutlak dan tidak dipertikaikan.

Seperkara yang patut menjadi kebanggaan orang Melayu dan pribumi mengenai Perkasa adalah pertubuhan itu cukup bersemangat dan penuh yakin bahawa masih belum terlambat untuk kaum itu bangkit memperjuangkan hak yang sudah termaktub.

"Kita masih belum terlambat untuk berjuang demi hak kita. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini amat menginsafkan kita dan seharusnya perjuangan ini diteruskan kerana Melayu akan hilang dunianya jika tiada yang mempertahankannya," katanya.

Friday, November 14, 2008

UMNO TERKENA KANSER "ABDULLAH AHMAD BADAWI".....


"KANSER AAB DALAM UMNO"

PERALIHAN KUASA


|


1. Akhirnya Majlis Tertinggi UMNO dan UMNO keseluruhannya terpaksa akur akan kehendak Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden supaya peralihan kuasa diadakan pada Mac 2009.

2. Tiga bulan bukanlah satu jangka masa yang panjang tetapi dalam politik UMNO dan negara sekarang banyaklah kerja-kerja pemulihan parti yang akan terganggu kerana penangguhan yang tidak berasas ini.

3. Sebabnya ialah kerosakan yang dilakukan oleh Abdullah kepada UMNO begitu teruk sehingga tiap saat usaha pemulihan dilewatkan mungkin boleh membawa kesan yang buruk kepada UMNO dan Barisan Nasional. Selagi Abdullah berada sebagai Presiden Parti dan Perdana Menteri maka Dato Seri Najib akan terganggu dalam usaha memulih semula segala-gala yang perlu dipulih sebelum Pilihanraya Umum ke 13.

4. Sesungguhnya UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti komponen Barisan Nasional sudah rosak teruk dalam masa lima tahun Abdullah memimpin pertubuhan-pertubuhan ini. Mungkin ada mereka-mereka yang akan pertahan prestasi Abdullah dengan berkata kerosakan ini sudah lama berlaku dan Abdullah cuma mewarisi kerosakan ini.

5. Benarkah? Jika benar kenapakah UMNO dan Barisan Nasional diberi kemenangan 2/3 tiap Pilihanraya sejak 1974 lagi. Tidak sekali pun Barisan Nasional menang kurang dari 2/3 dalam Dewan Rakyat. Dan Barisan Nasional tidak pernah gagal menguasai Kerajaan di Kedah, Perak dan Selangor. Pulau Pinang juga, sejak Gerakan menyertai Barisan Nasional tidak pernah kalah kepada parti lawan, terutama DAP.

6. Dalam Pilihanraya 1999, di waktu mana ramai pengundi Melayu kurang senang dengan kepimpinan UMNO; Barisan Nasional masih menang 2/3 dalam Dewan Rakyat.

7. Jika parti UMNO dan Barisan Nasional yang diserah kepada pimpinan Abdullah pada Oktober 2003 sudah rosak apakah mungkin Barisan Nasional mencapai kemenangan luar biasa pada 2004 dengan mendapat 90% dari kerusi Dewan Rakyat, mendapat balik kuasa di Terengganu dan hanya kalah sedikit sahaja di Kelantan, kubu PAS. Semua tanda-tanda menunjuk bahawa UMNO dan Barisan Nasional yang diterima oleh Abdullah pada Oktober 2003 berada dalam keadaan amat sihat dan kuat. Jika tidak mungkinkah BN capai kemenangan luar biasa pada Pilihanraya ke-11 pada tahun 2004, hanya 5 bulan selepas peralihan kuasa.

8. Jika kemenangan ini hanya kerana kepimpinan baik oleh Abdullah, tentulah kemenangan yang lebih baik akan diperolehi setelah Kerajaan dan Parti dipimpin olehnya selama empat tahun selepas Pilihanraya umum ke-11. Tetapi prestasi parti dalam Pilihanyara ke-12 tahun 2008 adalah begitu buruk sekali.

9. Jika ini tidak mencukupi untuk membuktikan kerosakan Barisan Nasional dan UMNO di bawah pimpinan Abdullah sejak 2004, pilihanraya kecil di Permatang Pauh jelas membukti bahawa Barisan Nasional dan UMNO sudah jadi parti kerdil yang begitu takut kepada parti lawan sehingga ahli-ahli tidak berani pakai lencana dan baju UMNO atau BN.

10. Apa yang berlaku dalam Pilihanraya Umum 2008 ialah ramai ahli dan penyokong biasa UMNO dan Barisan Nasional telah undi parti lawan. Apakah ini di sebabkan mereka tertarik dengan perjuangan parti PAS, DAP dan Keadilan. Soal selidik menunjuk bahawa mereka tidak terpikat dengan Negara Islam PAS atau Malaysian Malaysia DAP atau reformasi Keadilan. Mereka dengan hati yang berat telah undi parti-parti lawan kerana kecewa dengan kepimpinan Abdullah, tindak-tanduk dan sikap Jemaah Menteri yang tidak tahu kenang budi barang sedikitpun.

11. Untuk memperbaiki kerosakan ini masa yang panjang dan usaha yang gigih perlu dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kurang tercemar imej mereka. Mereka perlu turun padang untuk berjumpa dengan seberapa ramai ahli UMNO dan pengundi-pengundi supaya dapat mendengar rintihan mereka. Banyaklah kesalahan-kesalahan Kerajaan pimpinan Abdullah yang perlu dibetulkan. Kemerosotan ekonomi, kehilangan peluang-peluang kerja, kenaikan harga barang, tidak adanya lagi kontrak bagi kontraktor kecil, semua ini perlu diberi perhatian oleh Dato Seri Najib dan pasukannya. Tindakan yang berkesan perlu diambil bagi mengatasi masalah-masalah ini.

12. Di masa yang sama penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan ahli keluarga perlu dihentikan. Cara hidup yang mewah yang diamali oleh pemimpin-pemimpin parti dan Kerajaan perlu dihentikan.

13. Kontrak-kontrak perlu diagih dengan adil kepada semua pihak dan tidak hanya kepada orang tertentu diantara pemimpin politik sebagai sogokan untuk mendapat sokongan.

14. Kerosakan besar yang kedua yang berlaku dan berkembang semasa kepimpinan Dato Abdullah ialah rasuah dikalangan pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat. Ini menjadi-jadi kerana Dato Abdullah sendiri dilihat sebagai Perdana Menteri yang mengguna kedudukan dan kuasanya untuk menjayakan perniagaan anak dan menantunya, serta lain-lain kaum kerabatnya.

15. Kemunculan Scomi, ECM Libra, dan kontrak-kontrak yang diperolehi oleh syarikat-syarikat ini yang di ketahui dimiliki oleh anak dan menantu PM seolah-oleh mengizin dan menggalak amalan rasuah.

16. Dalam bidang politik, secara langsung atau tidak langsung Abdullah terlibat dengan beberapa kes sogokan. Semua tahu bahawa wang sebanyak RM 200/- diberi kepada wakil-wakil ke mesyuarat Bahagian Kubang Pasu supaya tidak mengundi saya untuk menjadi wakil ke Mesyuarat Agong UMNO pada tahun 2006. Seorang Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan telah lapur kepada Ibu Pejabat UMNO yang Dato Abdullah telah beri sebanyak RM 200/-, kain pelekat dan sejadah kepada ahli cawangan-cawangan UMNO yang dibawa di Kuala Lumpur, diberi makan dan penginapan di hotel mewah dan disuruh sokong peralihan kuasa olehnya pada 2010. Seorang pemimpin veteran UMNO telah buat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah berkenaan perkara yang sama.

17. Kata pepatah Melayu "Apabila guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari." Dan sebenarnyalah apabila pemimpin dilihat mengamalkan rasuah maka pengikut akan amalkannya lebih-lebih lagi.

18. Untuk mendapat sokongan pemimpin tertentu diperingkat bahagian kontrak bermillion diberi kepada mereka, walaupun mereka tidak punyai kebolehan untuk melaksanakan kontrak tersebut.

19. Semasa pencalonan bagi jawatan-jawatan tertentu, ramai yang ingin dicalonkan mengguna wang untuk mendapat pencalonan.

20. Setelah diketahui bahawa ada calon yang sanggup menghulur wang sogokan supaya mereka dicalonkan maka ahli-ahli dan perwakilan ke mesyuarat bahagian sudah mula meminta wang sogokan jika sokongan mereka dihendaki.

21. Amatlah jelas bahawa rasuah sudah menjadi budaya ahli-ahli UMNO disemua peringkat. Apabila budaya ini dianggap sebagai sesuatu perkara biasa maka pemimpin yang akan dipilih lebih mungkin terdiri daripada mereka yang tidak bermoral, perasuah yang hanya ingin jadi pemimpin untuk kepentingan diri. Apabila ini berlaku maka negara akan perolehi pemimpin dan Kerajaan yang tidak bermoral, yang akan salahguna kuasa untuk kepentingan diri. Dengan ini akan rosaklah negara.

22. Rasuah dikalangan ahli dan pemimpin UMNO akan menjadikan UMNO parti yang tidak dapat dipercayai oleh rakyat, dipandang hina dan akhirnya ditolak.

23. Jika UMNO pimpinan Dato Najib ingin diterima dan disokong oleh rakyat sebagai pengundi, ingin memperolehi kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke 13 maka rasuah dalam parti hendaklah dihapuskan. Usaha ini bukanlah mudah tetapi suka atau tidak suka Najib dan pasukannya perlu berusaha sedaya upaya.

24. Jika tidak pengundi akan undi siapa sahaja yang menyogok wang kepada mereka dan ini termasuk parti lawan. UMNO dan BN mungkin tidak akan dapat memerintah negara ini lagi. Kita sekarang sedang diberi "preview" jenis pemerintahan yang akan didirikan oleh parti-parti lawan.

Sunday, September 21, 2008

ISA : RAKYAT JANGAN GELOJOH..!!


DI PETIK DARI BERITA MINGGU 21 SEPTEMBER 2008

Soal Jawab: ISA bukan kekang kegiatan orang politik



Datuk Seri Syed Hamid Albar

Pendekatan mencegah sebelum merawat langkah terbaik kekal keharmonian rakyat

PENANGKAPAN penulis blog, Raja Petra Kamaruddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng, menghangatkan semula perdebatan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagi sesetengah pihak, ISA sudah ketinggalan zaman dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mempunyai pandangannya, terutama apabila menyentuh soal keselamatan negara dan ketenteraman awam. Ikuti temu bual bersama wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin.

AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilabel sebagai Draconian (sangat keras) serta sepatutnya hanya digunakan terhadap anasir subversif yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara paksaan dan bukan terhadap ahli politik, wartawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan. Apakah penjelasan Datuk Seri.


ISA terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti subversif seperti pengganas Komunis adalah sejarah. Dalam konteks sekarang, ISA adalah undang-undang pencegahan untuk mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awam dan keamanan. Itu adalah objektif utama ISA.

ISA bukan tindakan selepas ancaman berlaku, tetapi tindakan pantas bagi mengelakkan sebelum sesuatu perkara berlaku. Sejak merdeka sama ada secara sedar atau tidak, ISA berjaya memelihara keamanan dan ketenteraman awam. Elemen utama akta ini adalah ketenteraman awam dan keselamatan. Apakah ketenteraman awam dan keselamatan?

Pertama ialah jika didapati tindakan atau kelakuan seseorang itu boleh melahirkan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam seperti menyebabkan konflik, rusuhan dan perang saudara. Ini membabitkan perasaan benci meliputi isu agama, kaum dan budaya.

Kedua, tindakan yang dianggap boleh menjejaskan ekonomi negara seperti boleh menyebabkan ekonomi negara lumpuh, pelabur lari dari negara ini kerana takut akibat keadaan tidak menentu. Begitu juga aktiviti sindiket mengeluarkan kad pengenalan dan pasport palsu yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan bagi mencegah kegiatan terus berlaku.

Ketiga, pihak yang mengancam perkhidmatan perlu dan penting seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga boleh dikenakan tindakan ISA.

Masih ramai mengaitkan ISA dengan ketidakadilan dan campur tangan politik.

Orang berkata ISA adalah undang-undang yang membolehkan penahanan di bawah kuasa Menteri (Keselamatan Dalam Negeri) dan penahanan tanpa bicara. Orang selalu lupa bahawa ISA mempunyai dua bahagian penting.

Pertama ialah mengikut Seksyen 73(1) yang memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awal menahan mana-mana pihak yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Tindakan ini membolehkan polis menahan seseorang sama ada selama 24 jam, dua hari dan seminggu dengan tempoh maksimum selama 60 hari. Jika dalam jangka masa itu tidak ada kes menunjukkan ada ancaman, pihak polis boleh melepaskan. Perkara ini adalah budi bicara polis sepenuhnya.

Ini membolehkan polis menjalankan kerja risikan bagi menentukan perkara ini tidak merosakkan ketenteraman awam.

Penahanan ini bukan suatu kesalahan jenayah dan tidak dituduh mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan. Tempat tahanan berbeza dengan mereka yang ditahan mengikut akta lain. Mereka yang ditahan reman dimasukkan dalam lokap, manakala tahanan ISA mempunyai sel sendiri yang lengkap dengan tempat tidur.

Tahanan ISA mempunyai hak untuk habeas corpus (writ hak untuk mencabar kesahihan penahanan seseorang) berjumpa keluarga, mendapatkan peguam dan apabila dibebaskan tidak mempunyai rekod melakukan kesalahan jenayah atau seperti tertuduh yang dilepaskan kerana tiada kes. Ini adalah semata-mata untuk ketenteraman dan keselamatan awam.

Polis tidak perlu merujuk kepada menteri untuk mengambil tindakan ini. Cuma sebagai Menteri Dalam Negeri, polis akan memberitahu tindakan itu diambil kerana perkara ini akan ditanya oleh pelbagai pihak, itu saja. Hendak melepaskan juga tidak perlu meminta kebenaran menteri. Itu adalah budi bicara polis yang cukup berhati-hati dan teliti.

Bagaimana jika selepas 60 hari dan polis mendapati bahawa seseorang itu mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Jika polis mendapati bahawa orang itu masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara, perakuan akan dibuat kepada menteri untuk menahan mengikut Seksyen 8(1) atau 8(5). Menteri akan melihat hujah polis untuk menahan orang itu. Jika berpuas hati, menteri akan menandatangani dokumen yang dipanggil Detention Order (Perintah Penahanan) selama dua tahun. Tidak bermakna sepanjang tempoh itu, orang itu tidak dapat berjumpa keluarga seminggu sekali dan juga peguam.

Dalam tempoh tiga bulan pertama, kes boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat dan tahanan boleh membawa peguam ketika kesnya didengar. Jika Lembaga Penasihat menyatakan masih menjadi ancaman, tahanannya akan diteruskan dan setiap enam bulan akan ada semakan (sama ada orang itu menjadi ancaman).

Di Kamunting (Perak), tahanan ISA ada surat khabar, boleh bersenam dan tidak duduk seperti macam pesalah jenayah. Dia boleh bertanding pilihan raya dan mendapat rawatan bukan saja di hospital berdekatan, malah rawatan pakar. Makanan juga sangat baik dan kalau ada diet khas seperti vegetarian, kita akan sediakan makanan itu.

Kita kadang-kadang mudah lupa. Kita menganggap seolah-olah penahanan ini bertujuan untuk memuatkan orang politik. Orang politik boleh bertindak mengikut sesuka hati selagi tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kebanyakan orang yang ditahan mengikut ISA adalah berasaskan ancaman gerakan militan dan ideologi yang boleh memecah belahkan serta sikap melampau yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Jika polis tidak mengambil tindakan terhadap golongan begini, negara kita porak peranda. Lihat suasana sekarang, satu isu boleh mencetuskan perasaan tidak menentu, menimbulkan kegelisahan dan kemarahan antara kaum. Di negara ini, masih banyak sensitiviti yang perlu dipelihara dan dikawal dengan baik supaya tidak bertukar menjadi konflik terbuka.

Dalam kes penahanan tiga individu terbabit, beberapa pihak, termasuk di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan penggunaan ISA. Apakah ketenteraman awam benar-benar tergugat hingga memerlukan ISA digunakan.

Soalan ini patut ditanya kepada polis. Saya tidak ada maklumat yang polis ada kerana polis menggunakan kuasa yang dalam pengetahuan mereka. Saya fikir dalam soal menjaga keselamatan di mana-mana pun, apabila mula mempertikaikan pasukan polis melaksanakan tugas seperti butiran yang ada apabila mengambil sesuatu tindakan, ini akan menggagalkan tindakan pencegahan.

Tetapi kalau kita melihat undang-undang antikeganasan di United Kingdom, pihak berkuasa boleh menahan seseorang kerana semata-mata ada ancaman. Mereka menyerbu dan memecahkan rumah orang Islam kerana dipercayai ada pengganas dan menangkap imam kerana ceramah imam dikatakan membangkitkan semangat.

Kita tidak boleh mengetahui keadaan yang membawa kepada penangkapan mengikut ISA seperti apakah maksud keadaan tidak terkawal dan bagaimana keputusan itu dibuat.

Jika buat begitu, pasukan keselamatan tidak boleh menjalankan tugas kerana setiap hari kena berbahas. Apabila berbahas akan ada perbezaan pandangan. Kita terlupa bahawa selama ini di belakang ada pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan. Kita lihat bahawa (sebelum penahanan mengikut ISA) suhu semakin lama semakin panas hingga Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi pandangan bahawa suasana ini perlu dibendung.

Kita hendak bendung atau 'kita tidak boleh percaya cakap polis kerana kita perlu tengok biar bergaduh dulu, baru ambil tindakan'. Saya fikir ini tidak pernah menjadi pendekatan Malaysia dan ini yang menyebabkan wujud kedamaian dan keamanan di negara ini. Polis apabila mengambil tindakan mengambil kira semua faktor itu. Malangnya orang yang memberi komen (mengenai ISA) mempunyai faktor politik sedangkan polis melihat faktor keselamatan.

Memang perkara ini adalah kontroversi. Tetapi adakah kerana kemungkinan kontroversi, polis tidak mengutamakan soal keselamatan.

Saya fikir parti komponen BN yang membentuk kerajaan perlu mempunyai satu pemikiran. Kekuatan politik BN ialah kita menyimpan semua perkara yang hangat dalam perbincangan tertutup dan ini tidak mencetuskan reaksi berbeza.

Adakah kerajaan tidak memberi perhatian terhadap pandangan yang mengkritik ISA.

Terdapat dua reaksi terhadap ISA. Jangan ingat orang yang menghentam ISA adalah golongan majoriti. Mereka yang menentang penggunaan ISA adalah golongan yang vocal (lantang) dan mereka melahirkannya dengan menulis surat dan SMS. Saya anggap sebagai kakitangan awam yang menjalankan tugas, itu adalah perkara biasa kerana setiap orang ada pandangan masing-masing.

Bagaimanapun pada masa sama, saya mendapat banyak surat dan SMS memberi sokongan terhadap ISA. Akhirnya saya berfikir orang yang menyokong ISA bukan kerana faktor kaum, budaya dan agama, tetapi takut tercetus pergaduhan dan perselisihan.

Bagaimana tiada ancaman jika pihak antarabangsa mengklasifikasikan Malaysia sebagai tidak stabil dari segi politik, keadaan tidak menentu dan dinasihat tidak melabur. Bukankah itu adalah ancaman kepada keselamatan. Polis mesti ada asas sebelum bertindak mengikut ISA.

Kadang-kadang pihak yang memelihara keselamatan dan ketenteraman awam menjadi mangsa kepada niat kita untuk melahirkan kebebasan daripada golongan yang tidak semesti majoriti. Golongan majoriti selalunya senyap. Ada orang kata ISA ketinggalan zaman, tetapi akta ini sudah berkembang dan prosedur berubah berbanding peringkat awal.

Pihak yang menentang ISA menggesa mereka yang ditahan ISA diberi peluang membela diri. Sebagai contoh mereka yang ditangkap kerana menghasut didakwa mengikut Akta Hasutan.

Saya bercakap mengenai keselamatan. Sebagai contoh jika menghasut yang boleh menyebabkan keselamatan terjejas dan menimbulkan konflik terbuka atau sifat perkauman yang boleh membangkitkan kegelisahan awam, tindakan ISA akan digunakan.

Katakan seorang yang tidak suka orang Islam meletakkan daging babi di depan rumah orang Islam. Daging itu boleh dibuang sajalah, tetapi ini boleh mencetuskan perbalahan antara orang Islam dan bukan Islam. Begitu juga jika orang Islam mengatakan 'apalah sembahyang pada tokong atau bakar kertas'. Semua sifat tidak bertolak ansur terhadap fahaman berlainan boleh membangkitkan kegelisahan, kemarahan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Kita boleh bertindak mengikut Akta Hasutan jika hasutan itu adalah hasutan biasa, tetapi keadaan berbeza jika hasutan menjejaskan keselamatan serta membawa kepada suasana permusuhan dan konflik terbuka, sama ada ia berlaku atau tidak adalah soal lain. Polis akan menganalisis sama ada ia akan berlaku atau tidak.

Antara dua perkara yang dianggap buruk (between two evils), lebih baik kita mencegah berbanding membiarkan rusuhan berlaku. Untuk membetulkan masyarakat selepas rusuhan berlaku adalah lebih susah seperti (pergaduhan antara kaum) di Kampung Medan (Selangor) dan Kampung Rawa (Pulau Pinang). Untuk membina mengambil masa, tetapi untuk meruntuhkan sekelip mata.

Di sebalik wujud tentangan, tangkapan mengikut ISA dilihat agak lewat ketika keresahan dan kebimbangan berhubung isu perkauman sudah lama meruap di kalangan masyarakat.

Saya sudah menjangka jika kita tidak mengambil tindakan, dikatakan gagal melaksanakan tugas. Kalau ambil tindakan, dikatakan sudah lambat. Pada saya, tindakan perlu dilihat kepada tahap. Jika tahap itu boleh lagi tolak ansur, pihak polis tidak mahu mengganggu kebebasan dan kemahuan masyarakat melaksanakan hak.

Polis cukup berhati-hati dan teliti kerana tahu bahawa ini menyentuh soal kebebasan dan hak individu. Saya sendiri sebelum menandatangani benda ini (dokumen ISA), mereka (pegawai bahagian ISA Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) ditanya macam-macam soalan hingga pening kepala. Mereka kata Datuk ini susah!

Hendak menahan orang bukan suatu perkara mudah atau kita kata 'orang itu kena tahan, tahan dia'. Tidak boleh! Mesti kaji dengan teliti kerana ada penahanan mengikut ISA mempunyai sistem, iaitu penahanan boleh dipertikaikan, dibawa ke mahkamah, ada jaminan bahawa orang itu tidak teraniaya dan kita hendak tentukan dua keadilan apabila bertindak. Pertama keadilan kepada individu yang hendak ditahan. Kita tidak menyalahgunakan kuasa serta memberi keadilan dan kesaksamaan.

Kedua, jangan lupa bahawa masyarakat juga menuntut keadilan. Kita mesti adil kepada individu serta kepada masyarakat dan negara. Kita mesti saksama terhadap kedua-dua pihak supaya tidak menimbulkan keresahan yang akhirnya orang duduk saja dalam rumah dan malam lengang kerana orang dengan pelbagai kemungkinan. Alhamdulillah sejak merdeka, negara cukup selesa hingga kita lupa bahawa ISA banyak membantu.

Penangkapan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng dilihat agak ekstrem dan alasan untuk melindungi keselamatannya juga tidak diterima. Apakah pandangan Datuk Seri.

Saya fikir perkara ini dilihat dalam konteks terpisah. Keselamatan individu ialah jawapan kepada banyak soalan, tetapi yang utama dan telah dialihkan pandangan, jika dilihat temu bual saya ialah mengenai keselamatan.

Bukan keselamatan individu, tetapi secara keseluruhan. Sebagai contoh untuk membuat penangkapan seterusnya, polis kena mulakan dari sesuatu.

Polis (dalam kes Tan) bermula dengan mendapatkan orang yang mula-mula menulis, adakah digunakan oleh orang lain untuk mengancam keselamatan, mengapa dia tulis itu, adakah unsur yang mempunyai perkara tersirat yang boleh menjejaskan keselamatan dan siapa yang terbabit. Jika polis hendak tangkap orang lain pun, dia kena berpunca dari sini (Tan).

Jika orang kata mengapa tidak mengambil tindakan terhadap orang tertentu, apabila hendak mengambil tindakan, kita kena kaitkan dan ada rangkaiannya. Jadi perlu ambil punca utama dan bukan kita hendak menahan dan melakukan keganasan terhadap dia.

Penahanan wartawan, sama seperti ahli politik dan peguam memang mendapat perhatian dunia antarabangsa. Soalnya, kita sayang negara atau lebih melihat kepada tekanan luar. Jika negara porak peranda, siapa yang hendak jaga. Orang luar?

Apabila Datuk Zaid Ibrahim (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sebagai anggota Kabinet, mempertikaikan penggunaan ISA dan kemudian meletakkan jawatan. Tidakkah ini melemahkan kewajaran tindakan kerajaan menggunakan ISA.

Saya fikir antara tradisi seluruh dunia ialah berpegang kepada tanggungjawab bersama. Jika kita mempunyai pegangan yang betul-betul berlainan di atas prinsip, memang saya fikir tindakannya adalah tepat kerana tidak boleh berkongsi pandangan yang sama.

Kita semua mempunyai pandangan masing-masing terhadap ISA. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi ketika mengamalkan undang-undang dan sebelum menjadi Menteri Dalam Negeri. Apabila saya menjadi sebahagian kumpulan yang bersama, paling penting kita hendak tentukan ialah tidak ada penyalahgunaan kuasa dan menentukan keselamatan negara diletakkan di atas segala kepentingan lain.

Ketika zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), ada anggota Kabinet membuat kenyataan berlainan daripada apa yang diputuskan berhubung pengambilan tanah di Johor untuk membuat Link Kedua. Komen Dr Mahathir, 'kita ada keputusan dalam Kabinet, kalau sesiapa tidak bersetuju, tidak boleh menyokong keputusan bersama, cara terhormat ialah berhenti dari kerajaan'.

Saya fikir tindakan beliau berhenti (Zaid) adalah elok, tetapi kebanyakan orang apabila berhenti sepatut tidak pergi kepada pembangkang. Kebanyakan orang berhenti kerana ada prinsip, tetapi tetap ahli parti dan bersama kerajaan. Jika dalam kerajaan, kita sentiasa membangkang, di mana semangat setia kawan? Kekuatan itu adalah tanggungjawab bersama sebagai tradisi yang dipegang oleh anggota Kabinet yang memang ramai peguam.

Ketika kerajaan menggalakkan kebebasan dan bersikap liberal terhadap kebebasan bersuara, ISA digunakan. Tidakkah ini mewujudkan pertentangan yang nyata.

Cuba lihat sejak diperkenalkan, berapa banyak surat khabar ditutup kerana ISA? Cuba lihat Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), kumpulan yang bukan saja dikatakan dimiliki parti pemerintah, tetapi mempunyai hubung kait dengan Umno, tetapi memberi laporan satu muka penuh kepada Zaid dan laporan penuh terhadap tangkapan ISA, memuatkan pandangan semua orang. Lihat blog dan begitu juga surat khabar lain. Apa yang terkandung dalam The Sun dan Sin Chew Jit Poh?

Saya fikir kebebasan cukup banyak. Jangan mengambil satu kes dan salahkan ISA. Mana ada orang yang ketika menulis memikirkan ISA. Tidak ada! ISA tidak menjadi hambatan tetapi jangan kita menggunakan seolah-olah ISA menghantui kebebasan. ISA hanya datang apabila kita menjejaskan keselamatan.

Hendak tulis sebebas-bebasnya, tetapi tidak bermakna bebas itu tidak patuh kepada undang-undang. Raja Petra dalam temu bual bersama BBC berkata bahawa kerajaan hendak mengekang kebebasan internet. Saya cakap kebebasan tetap ada, tetapi dilaksanakan dalam konteks patuh kepada undang-undang negara.

Takkan kita biarkan kebebasan hingga negara porak peranda. Kebebasan mesti dilaksanakan dengan tanggungjawab. Kebebasan mesti menghormati bukan saja hak kita, tetapi hak orang lain, menghormati sensitiviti. Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dikatakan menyebabkan tidak ada kebebasan. Tetapi Malaysia adalah antara negara yang banyak surat khabar dalam pelbagai bahasa. Banyak pandangan dikeluarkan dalam surat khabar. Saya tengok sangat baik untuk sebuah negara sedang membangun, standard kita dalam sesetengah keadaan terutama di bawah Perdana Menteri sekarang sehebat negara maju.

Selepas 51 tahun merdeka, Datuk Seri melihat hubungan antara kaum masih menjadi masalah besar.

Kita boleh melihat Malaysia sebagai Malaysia dan tidak melihat dari kaca mata kaum atau memperjuangkan kepentingan kaum. Kita meletakkan integrasi sebagai agenda utama. Masalahnya kita bercakap mengenai Malaysian Malaysia, tetapi hanya bercakap mengenai kepentingan kaum masing-masing.

Ini bermakna pihak berkenaan mahu pewarnaan mengikut sudut kaum masing-masing. Kalau macam itu, kita belum sampai tahap integrasi sebenar yang mahu dicapai. Integrasi bukan bermakna asimilasi. Kita tidak boleh asimilasi orang kerana kita dalam satu masyarakat majmuk. Kepelbagaian menjadi kekuatan kita.

Allah menjadikan orang Melayu cukup tinggi toleransi kerana mengambil unsur budaya lain dan diMelayukan. Budaya Melayu bukan budaya menekan, menerima semua unsur sebab itu boleh menjadi asas kepada keMalaysiaan.

Sunday, June 29, 2008

BERANI KERANA BENAR..TAKUT KERANA SALAH..


Perbuatan liwat adalah berdosa besar di sisi Allah.S.W.T. Apabila seorang muslim itu dituduh melakukan perbuatan liwat..maka ia hendaklah bersumpah dengan nama Allah menafikan bahwa ia tidak melakukan perbuatan liwat tersebut. Dan bersedia menerima laknat Allah jika sumpahnya itu dusta.....

Bersediakah Anwar Ibrahim bersumpah dengan menyebut nama Allah dan bersedia dilaknat oleh-Nya jika berdusta..??



AGENDADAILY BREAKING NEWS......

Sandiwara liwat : TPM dikaitkan...Anwar kononnya diancam bunuh



(Gambar: Gambar di atas menunjukkan Saiful Bukhri Azlan (baju biru) bergambar dengan pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas. Gambar ini yang didakwa oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail bukti wujudnya konspirasi libatkan pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk 'kenakan' Anwar. Untuk rekod, gambar ini dirakam pada Januari 2008 sebelum Saiful bekerja dengan Anwar dan pada masa itu beliau adalah pemimpin pelajar sebuah institusi pengajian tinggi).



TERBARU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ancaman bunuh dan dengan sebab itu beliau kini mendapat perlindungan di Kedutaan Turki untuk menjamin keselamatannya. Bagaimanapun sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh PKR terhadap ancaman bunuh berkenaan.



Berita awal: Dalam usaha untuk menafikan tuduhan liwat yang dibuat terhadap Penasihat Parti Keadilan rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pembantu khasnya, Saiful Bukhri Azlan, Presiden PKR tampil dengan apa yang dikatakan ‘bukti kukuh’ wujudnya konspirasi yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk ‘balas dendam’ terhadap Anwar yang selalu mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibu.



Wan Azizah dalam sidang media tengahari Ahad, bukan sahaja mempertahan laporan polis Saiful adalah satu konspirasi tetapi menunjukkan gambar Saiful dengan seorang pegawai Najib di pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi menimbulkan gambaran seolah-olah wujudnya pakatan antara Saiful dan pejabat Najib untuk ‘mengenakan’ Anwar.



Wan Azizah menunjukkan rakaman gambar tersebut yang terdapa di dalam telefon bimbitnya.



Walaupun tidak dapat menyatakan bilakah gambar itu diambil tetapi ia dilihat cukup untuk menyatakan laporan polis tersebut telah dirancang oleh pejabat Najib. Alasannya mudah, Njib selama ini menjadi ‘mangsa’ serangan Anwar dalam kes Altantuya dan kini ‘bukti gambar’ itu telah cukup menjadi bukti bahawa ada usaha di pihak Najib untuk ‘kenakan’ Anwar semula.



Namun sumber pejabat Najib memberitahu Agendadaily, gambar berkenaan dirakam semasa Saiful mengadakan pertemuan dengan dengan pegawai khas Najib yang dikenali sebagia Khairil Anas yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengajian tinggi di pejabat Timbalan Perdana Menteri.



Menurut sumber itu, Saiful datang bertemu dengan Khairil Anas pada Januari lalu belum pun Saiful bekerja dengan Anwar bagi mendapatkan bantuan dalam urusan pemohonannya untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran.



“Jika ini keadaannya, kita ingin bertanya bagaimana konspirasi boleh wujud. Pada masa itu Saiful tidak bekerja dengan Anwar pun dan kita sendiri tidak tahu selepas pilihan raya dia bekerja dengan Anwar.



“Jangan cuba alihkan isu sebenar dengan cuba memberikan bayangan kononnya pejabat Timbalan Perdana Menteri terlibat dengan konspirasi nak kenakan Anwar. Ini kerja orang yang terdesak nak cari alasan bagi menutup tuduhan serius yang dihadapinya,” ujar sumber berkenaan.



Sementara itu, pada sidang media sebelum itu, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali menyatakan, semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR berdiri teguh di belakang Anwar dan tetap menyokong penasihat PKR itu.



Menurut Syed Husin, mereka tidak mempercayai dakwaan Anwar meliwat pembantu khasnya.



Beliau juga turut menafikan kononnya Anwar kini berada di sebuah kedutaan asing bagi mendapatkan perlindungan politik.



Sebaliknya Anwar kata beliau, berada di tempat yang selamat demi untuk menjamin keselamatan dirinya - 29/6/2008



--------------------------------------



Berita sebelum ini....PANAS…PANAS…pembantu peribadi Anwar dakwa diliwat...




Difahamkan pembantu peribadi yang berusia 23 tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).Desas desus mengenai hal ini mula tersebar sekitar jam 10 malam Sabtu.


Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah mengesahkan satu laporan polis dibuat tetapi enggan mengulas lanjut.


Laporan polis itu dikatakan dibuat jam 5 petang Sabtu di sebuah balai polis di Kuala Lumpur.


Ikut ceritanya ini bukan pertama kali dia diliwat.




Sementara itu wartawan Agendadaily yang pergi untuk melihat keadaan di rumah Anwar di Bukit Segambut,Kuala Lumpur jam 1 pagi Ahad mendapati ia lengang.


Cuma ada beberapa orang wartawan dan jurugambar sedang standby di situ.


Ramai wartawan dan jurugambar berkejar ke Hotel Quality Inn di Shah Alam.Anwar dikatakan berada di situ kerana menghadiri acara 'retreat' bersama para wakil rakyat PKR.


Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ,Datuk Wan Farid Wan Salleh ketika dihubungi Agendadaily awal pagi Ahad untuk ulas kes dakwaan liwat terhadap Anwar kata siasatan akan dijalankan ikut prosedur biasa tanpa memihak dan berlandaskan undang-undang.


Beliau beri jaminan ia bebas dari unsur politik." Saya yakin dengan profesionalisme pihak polis,"katanya.




Sementara itu waktu wartawan Agendadaily tiba di lobi Hotel Quality Inn,Shah Alam pada jam 2.10 pagi ada sekitar 300 orang berkumpul di situ.Kebanyakan mereka terdiri dari ahli PKR dan PAS.


Mereka dengar ucapan Ketua Penerangan PKR Tian Chua dan Ahli Parlimen PKR kawasan Machang, Saifuddin Nasution.


Tian Chua yang juga Ahli Parlimen kawasan Batu minta semua bertenang.


Saifuddin dalam ucapannya pula antara lain mendakwa skrip 1988 semacam berulang kembali.



Beliau turut mengesa semua penyokong PKR bertenang dan terus mengikuti dari sumber-sumber partiang sah.



“Kita telah maklumkan pada Datuk Nik Aziz yang berada di Perak dan Haji Hadi yang berada di luar negara. Lim kit siang telah berhubung dengan Datuk Seri Anwar, Karpal Singh dan semua pemimpin parti telah pun dimaklumkan tentang perkembangan ini agar mengetahui dengan tepat dari sumber kita,”katanya.





Anwar pula ketika itu difahamkan berada di bilik di tingkat atas hotel itu sedang berbincang dengan para peguamnya.



Tidak kelihatan sebarang kehadiran anggota polis sekitar hotel itu waktu itu.



Biro Penerangan PKR dalam kenyataan media mendakwa polis telah menahan Pembantu Khas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, SAIFUL BAHARI petang tadi (Sabtu).



Kenyataan itu juga mendakwa Saiful dipaksa buat kenyataan diliwat.



katanya pimpinan parti sedang berbincang langkah seterusnya dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.



Menurut kenyataan itu sidang media yang dijadualkan Ahad (29 Jun), pada jam 1 petang di Hotel Quality, Shah Alam oleh Anwar akan tetap diadakan.


Naib Presiden PKR Azmin Ali yang tiba di hotel itu pada jam 4.10 pagi kemudiannya beritahu para wartawan sidang akhbar akan dipercepatkan kepada jam 12.30 tengahari.


Katanya Anwar akan hadir bersama para peguamnya.


Menurutnya retreat para wakil rakyat PKR akan diteruskan mengikut jadual.


Pada waktu Azmin tiba jumlah orangramai yang masih menunggu di lobi tinggal sekitar 50 orang. - 29/6/2008