Sejarah tidak tipu fakta
|
|
SESUNGGUHNYA fakta sejarah tidak dapat menafikan kewujudan kaum Melayu dan kegemilangan tamadun serta budayanya di kepulauan Nusantara terutama di Semenanjung Tanah Melayu.
Justeru kata-kata yang seakan-akan menidakkan asal-usul orang Melayu di Kepulauan Nusantara sememangnya telah mengguris perasaan kaum itu.
Lantas, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang terkenal sebagai pejuang budaya terutama dunia keMelayuan dengan lantang menangkis segala cemuhan dan penghinaan terhadap orang Melayu itu dengan menghidangkan fakta sejarah yang tidak mungkin dapat disangkal sesiapapun.
Ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn baru-baru ini, Rais penuh bersemangat berkata, orang Melayu dan pribumi kini seharusnya meneliti semula kedudukan dari dua aspek iaitu sejarah dan perundangan kerana kedua-duanya amat berkait rapat.
Ujarnya, fakta sejarah boleh dianggap faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.
"Ini seperti mana India adalah negeri orang berketurunan bangsa India yang stok asalnya berunsur Dravidian, orang Arab di Timur Tengah. Bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun lalu mendiami dan mewarisi negara China atau seperti mana England didiami Anglo-Saxon," katanya.
Tambahnya lagi, seperti Christoper Colombus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang sarjana Cina yang menetap lama di Palembang sekitar 671 Masihi, menggunakan istilah 'Moloyu' sebagai merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu.
Menyebut
Kewujudan awal orang Melayu di kawasan itu diperkuatkan lagi apabila pengembara dan peniaga Arab pada abad ke-7 juga ada menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dalam catatan mereka.
Jelas Rais, pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka Melaka pada 1403, pedagang Cina mula pesat di negeri itu selepas pelayaran Cheng Ho manakala masyarakat Nyonya Baba dipercayai mula bertempat selepas 1413.
"Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan ialah Melayu merupakan penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah.
"Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup bukti, 'Sejarah Melayu' penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu," katanya.
Di zaman Inggeris bertapak di Semenanjung antara 1874 hingga 1957, tenaga buruh dari India dan China dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka.
Buruh India dibawa masuk untuk melakukan kerja di sektor kerja raya, perladangan getah dan perkeranian manakala kaum Cina pula untuk memenuhi sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri-negeri Selat.
"Jadi untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah dan Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur," kata Rais lagi.
Menyentuh mengenai hak orang Melayu, Rais berkata, mujur kaum itu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Menurutnya, apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan institusi tradisional tersebut yang sentiasa rapat dengan 'psyche keMelayuan' dan secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lainnya sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu.
"Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata orang Melayu mempunyai hak mereka dalam pewaris kepada tanah ini," katanya.
Manakala dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan penjahat komunis cuba merampas Malaya.
"Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut," katanya.
Tambahnya, perjanjian itu sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak akan disia-siakan dan ia menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: "Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukkan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu".
Kata Rais, ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu.
Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan walaupun ia telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama, ujar Rais.
Sebagai seorang yang arif mengenai undang-undang, Rais menerangkan lagi, setiap perlembagaan sesebuah negara mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa tetapi hanya melalui kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat.
Menyelusuri fakta-fakta sejarah itu, Rais menegaskan satu rumusan perlu difikirkan bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi supaya masa depan anak cucu tidak diganggu gugat serta mereka tidak tercari-cari tentang haluan dan kedudukan bangsa sendiri.
Di satu sudut, Perlembagaan negara dengan kontrak sosial juga perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan seolah-olah menolak isi kandungan yang telah sedia dibentuk.
Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman memperjelaskan bahawa konsep kontrak sosial memberi pengertian tertentu terutama hubungan antara negara dengan rakyat dan warganegara serta tiada kaitan dengan hubungan antara kaum.
Keistimewaan
"Dalam konteks falsafah politik, perkataan kontrak sosial berkait rapat dengan tolak ansur berhubung pertukaran tanggungjawab masyarakat sivil dengan jaminan keselamatan dan keistimewaan oleh negara atau kerajaan.
"Konsep ini adalah suatu teori yang lama dan telah diguna pakai oleh tokoh-tokoh falsafah Barat seperti Plato, Hocker, Hobbes dan lain-lain," katanya.
Bagaimanapun, Abd. Aziz berkata, konsep tersebut nampaknya telah diberi pengertian berlainan di negara ini di mana ada sesetengah orang mengatakan perkataan itu ada kaitan dengan tolak ansur yang dicapai dalam perundingan kemerdekaan dalam tahun 1956 dan 1957 antara kaum Melayu, Cina dan India.
Katanya, ada juga pihak mengatakan perkataan kontrak sosial mula timbul dan diguna pakai dalam tahun 1980-an dan diberi erti oleh mereka sebagai isi persetujuan yang dicapai oleh UMNO, MCA dan MIC semasa mereka mula-mula berunding dengan pihak British dan Raja-Raja Melayu untuk mencapai kemerdekaan.
Walau apa pun pengertian kontrak sosial, apa yang penting adalah isi kandungan Perlembagaan negara yang seharusnya difahami rakyat serta menghormati segala peruntukan di dalamnya dan tidak mempertikaikannya, ujar Abd. Aziz.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula memperkuatkan lagi perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu pada wacana itu dengan menggariskan beberapa agenda yang akan diberi perhatian oleh pertubuhan itu.
"Perkasa meletakkan lima asas dalam Perlembagaan negara yang akan menjadi perjuangan berterusan pertubuhan ini bagi memastikan hak orang Melayu dan pribumi dipertahankan," katanya.
Perkasa mencadangkan supaya kedudukan tanah rezab Melayu diberi perlindungan di bawah kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perkara 159 fasal 5, menyarankan hal-hal berkaitan melibatkan kuasa mahkamah syariah pada Perkara 121 (1A) diperjelas, diperkasakan serta terus dilindungi.
Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga menuntut supaya dilaksanakan penggunaan sepenuhnya bahasa Malaysia dalam segala urusan dan kehakiman negara melalui Perkara 163 dan 167 dan menggesa pihak kerajaan sentiasa memandang serius serta memperkasa hak-hak orang Melayu dan pribumi seperti yang terkandung dalam Perkara 153.
Kuasa raja-raja Melayu juga akan turut menjadi agenda pertubuhan itu yang mahu kerajaan memastikan Perkara 66 itu kekal mutlak dan tidak dipertikaikan.
Seperkara yang patut menjadi kebanggaan orang Melayu dan pribumi mengenai Perkasa adalah pertubuhan itu cukup bersemangat dan penuh yakin bahawa masih belum terlambat untuk kaum itu bangkit memperjuangkan hak yang sudah termaktub.
"Kita masih belum terlambat untuk berjuang demi hak kita. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini amat menginsafkan kita dan seharusnya perjuangan ini diteruskan kerana Melayu akan hilang dunianya jika tiada yang mempertahankannya," katanya.
No comments:
Post a Comment