MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Wednesday, November 26, 2008

BAHASA MELAYU BUKAN SEKADAR BAHASA PERCAKAPAN


'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'

PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing

No comments: