"" Hakim mau lawan sama saya yer...hakim kacang jer...kah..kah.."""
""Aku orang Baik...aku kebal undang-undang daa...."""" Itu dulu..sikalang lain ..Haiya""""
KUALA LUMPUR 11 Mac – Pihak pendakwaan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon agar Mahkamah Tinggi di sini menggunakan kuasanya untuk memerintahkan Ketua Pembangkang itu memberikan sampel bagi tujuan ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).
Ini merupakan permohonan yang julung-julung kali dikemukakan dalam sejarah perundangan negara.
Hasil ujian tersebut pula akan digunakan untuk perbandingan dengan sampel DNA yang ditemui di dalam rektum (salur dubur) bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh ahli politik berkenaan.
Permohonan itu dikemukakan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan selepas saksi pendakwa ke-26 dan terakhir, Supritendan Ahmad Taufek Abdullah selesai memberi keterangan.
“Permohonan ini adalah untuk mencari kebenaran dan keadilan terhadap semua pihak,’’ tegas Mohd. Yusof.
Permohonan itu, menurut beliau, dibuat mengikut Seksyen 73 dan 165 Akta Keterangan 1950.
Mengikut Seksyen 165, seorang hakim dalam mengetahui atau mendapatkan bukti wajar mengenai fakta berkaitan, boleh bertanyakan sebarang soalan, dalam sebarang bentuk, pada bila-bila masa, kepada mana-mana saksi atau pihak, mengenai sebarang fakta sama ada berkaitan atau tidak berkaitan.
Beliau juga boleh memerintahkan supaya dikemukakan sebarang dokumen atau benda dan mana-mana pihak atau ejen tidak berhak membuat sebarang bantahan terhadap mana-mana soalan atau perintah sedemikian atau tanpa kebenaran mahkamah, menyoal balas saksi atas sebarang jawapan yang diberikan.
Bagaimanapun, peruntukan tersebut disertakan dengan syarat bahawa penghakiman atau perintah itu dibuat berdasarkan fakta yang ditetapkan oleh akta tersebut sebagai berkaitan dan dibuktikan dengan sewajarnya.
Tiga tahun lalu, Parlimen bersetuju meluluskan Akta Identifikasi DNA 2008 yang mengklasifikasi profil DNA dan maklumat sedia ada yang berkaitan dengannya disimpan serta disenggarakan oleh Jabatan Kimia Malaysia atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Undang-undang tersebut diwujudkan bertujuan memperoleh sampel DNA daripada orang yang disyaki bersalah, tahanan atau seorang penagih dadah untuk siasatan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Bank DNA masih belum diwujudkan sehingga ini di negara ini.
Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pada prosiding hari ini, Mohd. Yusof turut memohon agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menyemak semula keputusan yang dibuat sewaktu bicara dalam perbicaraan (TWT) sebelum ini.
Ia berikutan keterangan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira dan keterangan Ahmad Taufek yang ditugaskan untuk menangkap Anwar pada 16 Julai 2008.
Dalam keterangan kedua-dua saksi, Judy telah memohon waran tangkap ke atas tertuduh pada 15 Julai tahun yang sama dan ia telah disempurnakan oleh Ahmad Taufek pada keesokan harinya.
Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk kedua-dua pihak berhujah mengenai kedua-dua permohonan tersebut.
Selasa lalu, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan untuk tidak menerima masuk sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008 yang menempatkan Anwar, sebagai barang bukti.
Hakim terbabit memutuskan demikian selepas mendapati barang-barang berkenaan yang diambil bagi tujuan mendapatkan profil DNA, diperoleh dengan cara yang tidak sah.
Prosiding TWT diadakan ekoran bantahan barisan pembelaan terhadap barang-barang kes itu. Bantahan ditimbulkan pada 23 Februari lalu sewaktu Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon memberi keterangan.
Dalam keterangan saksi pendakwa keenam itu, Nor Aidora menyatakan, ujian analisis DNA terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.
(Sumber Utusan Malaysia 12 Mac 2011)