MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Saturday, May 1, 2010

SURVIVAL MELAYU SURVIVAL MALAYSIA

Melayu kena diberi kesedaran
( Rencana Utusan Malaysia 1 Mei 2010  yang sangat baik )



NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, tidak malu mengaku yang beliau berasal dari keluarga miskin. Dilahirkan dan dibesarkan pula di tengah-tengah masyarakat Cina yang menguasai ekonomi dan politik di Pulau Pinang, perasaan insafnya terhadap nasib orang Melayu cukup mendalam.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN dan YAZID ALIAS serta jurugambar SHAHARANI SAIBI di pejabatnya di kampus Shah Alam, Isnin lepas, Dr. Sahol secara jujur berkongsi misinya untuk menyelamatkan masa depan anak Melayu.

Sebagai orang yang bertanggungjawab memimpin 140,000 pelajar UiTM, beliau merasakan perlu memberi kesedaran kepada mereka tentang hak yang perlu diperjuang dan dipertahankan dalam keadaan perpecahan orang Melayu cukup merunsingkan.

“Kalau selepas bercakap (memberi penjelasan) macam ini pun orang Melayu masih tak faham, masih tak sedar, kita memang menuju ke arah kehancuran,” katanya.

UTUSAN: UiTM ditubuhkan dengan objektif membantu orang Melayu terutamanya pelajar miskin luar bandar dengan memberikan ruang untuk mereka melanjutkan pelajaran. Bagaimana Datuk melihat peranan yang dimainkan UiTM itu, adakah masih sama, sudah berubah atau perlu ada penambahbaikan?

SAHOL HAMID: Peranan UiTM adalah untuk memartabatkan bangsa Melayu, memberi pendidikan kepada anak-anak Melayu dan bumiputera. Peranan UiTM juga adalah untuk pastikan graduan mendapat peluang kerja yang baik, mewujudkan keusahawanan orang Melayu dan meninggikan sosioekonomi bangsa ini di bandar dan luar bandar. Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh UiTM. Ia bermula pada tahun 1950-an sebagai institusi untuk membantu pelajar luar bandar berdasarkan perjuangan tokoh masa itu iaitu para pemimpin UMNO. Ini sejarah yang tidak boleh kita lupakan. Ia kemudiannya diangkat sebagai sebuah institut pada 1970-an sehingga menjadi sebuah universiti pada 1990-an.

Kini genap 54 tahun penubuhannya, UiTM telah mantap, dikenali di dalam dan luar negara manakala ramai rakyat telah faham peranan UiTM.

Sehingga kini, UiTM telah mengeluarkan 400,000 graduan dan ia semakin hari semakin berkembang dengan sasaran pengambilan 200,000 orang pelajar menjelang tahun 2015.

Kita berusaha untuk pertingkatkan lagi UiTM ke peringkat yang lebih tinggi. Akan tetapi UiTM tidak melupakan asal usul dan asas penubuhannya. Sekarang, selepas saya mengambil alih peranan sebagai Naib Canselor universiti ini, saya akan usahakan supaya peranan UiTM yang dahulu diteruskan untuk membantu pelajar miskin dalam bandar dan luar bandar. Kita akan letakkan UiTM di persada dunia dan menaikkan orang Melayu di mata dunia. Usaha ini akan dilakukan secara berterusan dan insya-Allah, tidak lama lagi UiTM akan dikenali sebagai sebuah universiti penyelidikan dan sebagainya.

Adakah UiTM kini terlalu menumpukan soal komersial sehingga mengabaikan asas penubuhannya untuk membantu Melayu?

Kalau nak kata UiTM menumpukan soal komersial dalam pengambilan pelajar sebenarnya tidak, UiTM adalah sebuah institusi yang mantap dan meningkatkan prestasi akademik yang tinggi. UiTM terpaksa menjadi sebuah universiti dan sudah tentu melibatkan dari segi keputusan pelajar. Kalau UiTM mahu bersaing dengan universiti-universiti lain, ia perlu memenuhi syarat badan-badan profesional termasuk bagaimana keputusan pelajar yang diterima masuk. Sungguhpun begitu sejak kebelakangan ini, kajian kita mendapati kemasukan pelajar berdasarkan merit dan persaingan semata-mata telah mewujudkan ketidakseimbangan.

Contohnya, daripada 20,000 pelajar yang diterima masuk, 70 peratus daripadanya perempuan, tinggal di kawasan bandar dan mendapat pendidikan di sekolah berasrama.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan, bermakna kita tergelincir daripada matlamat asal (penubuhan UiTM) kerana begitu ramai pelajar luar bandar tidak mendapat tempat, yang kebanyakan mereka juga ialah pelajar lelaki.

Saya khuatir, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, kita mungkin menghadapi masalah sosial ekoran keadaan ini. Memandangkan bilangan golongan wanita Melayu terpelajar dan berkedudukan tinggi semakin ramai, kalangan yang tidak berkahwin juga akan bertambah. Maka zuriat daripada orang Melayu akan berkurang. Apabila kurangnya zuriat daripada kalangan anak Melayu, ia boleh menyebabkan populasi orang Melayu menurun sehingga mungkin menjadi minoriti di negara sendiri.

Ini kerana, keadaan itu wujud akibat perbezaan taraf pendidikan dan sosial terutama kurangnya tempat dan peluang pendidikan kepada pelajar lelaki Melayu. Kemungkinan besar keadaan ini boleh berlaku sehingga menyebabkan anak-anak lelaki Melayu terjebak dengan gejala sosial seperti jenayah dan kegiatan antisosial gara-gara mereka tidak diberi tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Jadi sebagai sebuah institusi yang pentingkan masa depan anak bangsanya, UiTM merasakan perlu bertindak mengadakan program dan perancangan bagi menangani keadaan ini.

Maka sebab itulah kita mulakan apa yang dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa. Program ini diadakan untuk membawa kita kembali kepada asal usul penubuhan universiti ini dengan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan bumiputera luar bandar, juga di bandar. Ini kerana kita cukup insaf, para pelajar ini mendapat keputusan rendah, bukan kerana tidak pandai atau tidak bijak, tetapi faktor persekitaran yang mempengaruhi mereka. Ini termasuk kemiskinan, guru-guru tidak mencukupi selain keadaan yang tidak mengizinkan mereka belajar.

Walaupun UiTM menerima 20,000 pelajar berdasarkan merit persaingan, kita akan sediakan 5,000 tempat khas untuk golongan anak miskin Melayu yang saya sebutkan tadi dengan 80 peratus daripadanya lelaki. Kita hendak supaya wujud pengimbangan yang sesuai agar anak-anak Melayu sekali lagi mendapat pendidikan yang tinggi. Pada masa sama, kita mahu mereka mendekati antara satu sama lain dan mungkin berkahwin sesama mereka dan dengan cara ini, kita dapat melahirkan anak bangsa yang lebih cerdik dan terdidik dengan sempurna.

Pelaksanaan Program Mengubah Destini Anak Bangsa dengan memberikan 80 peratus daripada 5,000 tempat kepada pelajar lelaki mungkin akan mengundang kritikan bahawa UiTM mengamalkan diskriminasi gender?

Tidak. Kita sudah membuka 70 peratus kemasukan perdana (besar-besaran) itu kepada perempuan dan lelaki. Apa yang kita mahu lakukan adalah pengimbangan pelajar, kita tak diskriminasi. 80 peratus daripada 5,000 tempat khas pelajar miskin itu hanyalah kadar yang kecil.

Apa yang penting, sebarang usaha untuk kebaikan orang Melayu tidak seharusnya anggap diskriminasi. Kalau kita anggap ia diskriminasi, bagaimana untuk menjayakan usaha menyelamatkan bangsa, meninggikan taraf mereka selain membawa pengimbangan dalam peluang pendidikan di kalangan bangsa ini.

Kita tidak mahu 20 tahun dari sekarang, kita menyesal kerana tidak memikirkan nasib bangsa sendiri daripada sekarang. Kita akan mulakan Julai ini dengan melaksanakan pengambilan 5,000 pelajar Melayu miskin di seluruh negara.

Apakah kaedah yang akan dijalankan oleh UiTM untuk melaksanakan program ini?

Pelajar tidak perlu mohon secara online, mereka cuma perlu fotostat keputusan SPM dan kad pengenalan mereka sahaja.

Di Kedah, Kelantan dan beberapa negeri, kita cari pelajar-pelajar ini, kita pergi dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti keadaan kemiskinan keluarga dan kita akan tawarkan tempat kepada mereka yang layak. Malah, UiTM akan beri tempat tinggal, makan dan elaun kepada mereka yang terpilih. Kalau boleh saya tidak mahu ada seorang pun anak Melayu yang pandai dan boleh belajar, dinafikan tempat untuk mendapat pendidikan kerana dia miskin atau tak cukup syarat.

Apa yang penting ialah pelajar itu ada kemampuan untuk belajar dan kita akan beri peluang kedua ini untuk mereka mengubah destini diri dan keluarganya.

Cuba bayangkan, kalau satu semester kita boleh bagi 5,000 tempat, dalam tempoh satu tahun kita boleh sediakan 10,000 tempat untuk anak Melayu belajar. Dalam tempoh lima tahun, seramai 50,000 keluarga orang Melayu akan dapat diberi peluang belajar untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Program ini kalau dijalankan dengan baik boleh menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu. Inilah tujuan utama program ini.

Kita hendak menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu dan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang berkemahiran dan berkemampuan mendapat kerja di pasaran.

Pada masa yang sama, UiTM juga sedia mengubah beberapa polisi agar apabila pelajar ini menamatkan pengajian, boleh keluar contohnya sebagai graduan Diploma Perakaunan yang memiliki ijazah dalam bidang undang-undang.

Malah, pelajar yang ada ijazah dalam bidang kejuruteraan boleh melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan atau akauntan. Kita akan tawarkan program canggih dan futuristik yang akan meningkatkan taraf kebolehpasaran mereka.

Kita mahu, apabila pergi temu duga, pelajar UiTM yang diterima dahulu, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta kerana nilai tambah yang ada pada mereka termasuk sokongan bahasa Inggeris dan keusahawanan, yang telah dilengkapkan oleh UiTM.

Salah satu elemen budaya Melayu adalah tulisan jawi. Namun ramai kalangan Melayu sendiri semakin menjauhi tulisan itu. Apa peranan UiTM dalam hal ini?

Saya sedar ramai pelajar lupa tentang tulisan jawi. Identiti satu bangsa itu adalah melalui tulisan dan percakapan. Jadi kalau tak pandai tulis jawi, pelajar itu dilihat kurang dari segi 'kemelayuannya'.

Sebab itu kita mahu tekankan kepentingan jawi di kalangan pelajar Melayu. Kita kena wujudkan kesedaran penulisan jawi sebagai budaya yang tidak harus dipandang mudah.

Pelajar Melayu perlu digalakkan dengan membaca surat khabar, buku dan majalah dalam tulisan itu. Ini kerana, saya rasa sekarang hampir separuh pelajar tidak tahu membaca dan menulis jawi. Kalau dibiarkan, kita akan hilangkan 'kemelayuan ' dalam diri mereka.

Datuk kurang berkenan dengan program matrikulasi. Boleh jelaskan apakah sebabnya?

Pada pandangan saya, program matrikulasi banyak merugikan orang Melayu. Pengambilan pelajar hampir 30,000 orang untuk mengikuti program ini sehingga memakan sumber kewangan yang banyak, adalah tidak sepatutnya. Ini kerana ia masih tidak menjamin tempat di universiti dan kursus yang pelajar berkenaan minati.

Bagi yang lulus (matrikulasi) boleh meneruskan pengajian tetapi yang gagal, mereka ini akan kecewa dan telah membazirkan masa dua tahun tanpa mendapat apa-apa. Sedangkan para pelajar terbabit asalnya dari kalangan yang cemerlang dalam SPM.

Jadi apa alternatif Datuk cadangkan?

Bagi saya, adalah lebih untung jika para pelajar ini mengikuti kursus peringkat diploma sebab dalam tempoh tiga tahun, mereka sudah mendapat sijil sama ada untuk mencari pekerjaan atau meneruskan pengajian ke peringkat ijazah pula. Tambahan pula dengan adanya program multi disiplin yang ditawarkan UiTM, mereka ini akan keluar sebagai graduan terlatih dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, bahasa Inggeris dan lain-lain.

Berbanding program matrikulasi, mereka perlu mengikutinya selama dua tahun, barulah pelajar ini akan ditentukan pula pengajian peringkat ijazah. Itu pun ia belum dijamin.

Ini satu pembaziran masa, sedangkan kalau diberi peluang mengambil diploma, mereka boleh memilih bidang yang hendak diceburi dari awal-awal lagi dan menghabiskan pengajian dengan cepat.

Adakah ini bermakna program matrikulasi tidak lagi relevan pada masa ini?

Saya tidak mengatakan bahawa program matrikulasi itu perlu ditutup, tetapi kurangkan pengambilan pelajar dan pastikan mereka yang diambil betul-betul dijamin tempatnya di universiti dan mendapat kursus yang mereka minati. Kebanyakan mereka tidak mendapat tempat di universiti yang mereka idamkan dan kecewa kerana tidak berminat dengan jurusan yang diberi. Kesannya, apabila bekerja, mereka tidak berminat dan keadaan ini sudah pasti merugikan anak Melayu.

Jadi kita bandingkan kebaikan matrikulasi dengan diploma. Kalau jelas diploma membawa kebaikan, kenapa perlu terlalu ramai pengambilan dalam matrikulasi? Justeru kajian semula program matrikulasi perlu diadakan bagi melihat kesannya secara menyeluruh termasuk dari segi penambahan pelajar.

Bukankah penubuhan matrikulasi itu bertujuan memberi peluang kepada lepasan SPM untuk mendapat tempat di pusat pengajian tinggi?

Ya, tetapi janganlah pengambilan itu terlalu ramai sehingga ramai juga yang tercicir. Saya tidak boleh melihat pelajar Melayu tercicir. Kalau mereka ini tercicir, universiti mana yang akan menerima mereka? Paling menyedihkan, mereka terpaksa menggunakan semula slip SPM untuk memohon memasuki institusi pengajian lain, sekiranya tidak mencapai keputusan yang baik di peringkat matrikulasi.

Mungkin ramai yang marah dengan pandangan Datuk ini dan tidak kurang yang melihat sebagai usaha mempromosi UiTM?

Saya tahu perkara ini kalau saya suarakan ramai yang marah, tapi saya kena bersuara kerana tidak mahu dianggap sebagai 'pengkhianat' dalam usaha menjamin masa depan yang baik kepada anak-anak Melayu.

Lagipun, program diploma UiTM adalah sub-profesional dan negara kita memang memerlukan ramai pekerja sub-profesional. Ia satu opsyen yang lebih sesuai untuk kepentingan orang Melayu.

Selain itu, saya juga mendapat maklumat ramai ibu bapa menganggap satu paksaan apabila anak-anak masuk matrikulasi, mereka tidak dibenarkan mengambil diploma. Bagi saya, pelajar perlu ada kebebasan untuk memilih apa juga bidang yang diminati mereka untuk belajar.

UiTM sendiri mempunyai Program Persediaan Pelajar bagi mereka yang hendak melanjutkan pengajian ke luar negara.

Ini berbeza daripada matrikulasi kerana di bawah PPP, kita hantar semua pelajar ini melanjutkan pengajian mereka ke universiti luar negara. Mereka yang tidak mendapat tempat di luar negara, kita masukkan ke UiTM. Malangnya bagi pelajar matrikulasi yang gagal, mereka ini tidak tahu hendak ke mana.

Adakah UiTM sanggup menerima mereka?

Saya sanggup. Kita mahu beri tempat kerana mereka mempunyai keputusan yang baik di peringkat SPM dulu. Tujuan kita bukan untuk mengurangkan taraf UiTM dengan mengambil pelajar yang mendapat kelulusan rendah, tapi hanya untuk martabatkan pelajar Melayu dan memastikan pelajar matrikulasi tidak terabai.

Cuma kita tidak dapat tawarkan program di peringkat ijazah tetapi diploma dengan pengurangan kredit mata pelajaran.

Kalau kita boleh bantu, kita bantu. Akan tetapi kalau ada satu dasar baru untuk menyelamatkan pelajar ini, saya lagi gembira.

Monday, April 26, 2010

PENGUNDI CINA MENANTI LABA

Selepas Pilihan Raya Kecil Kerusi Parlimen Hulu Selangor berakhir dengan kemenangan kepada Barisan Nasional, ramai pengundi Cina yang berasa kecewa kerana calon pilihan mereka Zaid Ibrahim kalah.

Tidak mustahil dalam Pilihan Raya Umum ke 13 akan ramai calon DAP daripada orang Melayu akan dijadikan proksi mereka. Mana-mana pemimpin Melayu yang kecewa di dalam Barisan Nasional atau UMNO kerana gagal memenuhi agenda peribadi boleh berkira-kira dengan DAP dan PKR. PKR akan terus dihidupkan oleh DAP bagi memenuhi hajat besar mereka untuk menawan Parlimen dan negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina akan terus dijadikan alat oleh DAP dan kaum Cina untuk terus menekan UMNO yang menerajui Barisan Nasional. Tugas mereka menjadi lebih mudah dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Islam Malaysia.

Friday, April 16, 2010

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN HULU SELANGOR

Nampaknya Barisan Nasional sudah membuat keputusan iaitu calonnya dari MIC Kamalanathan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor. PKR pula mencalonkan Zaid Ibrahim.
Melihat reputasi Pakatan Rakyat maka saya berpendapat Zaid Ibrahim mungkin calon yang kurang tepat bagi mewakili penduduk Hulu Selangor. Ini kerana sebagaimana diketahui umum, Hulu Selangor memerlukan calon yang mampu menangani masalah setempat seperti masalah insfrastruktur, pembangunan, hak pengguna dan sebagainya. Zaid Ibrahim tidak mampu untuk membawa masalah Hulu Selangor kerana jika menang Zaid Ibrahim akan berhadapan denga masalah peruntukan. Hulu Selangor memerlukan peruntukan dana yang besar. Umum tahu bahawa Hulu Selangor memerlukan banyak pembangunan supaya penduduknya mendapat pendapatan yang tinggi. Tetapi tidak tahulah jika beliau akan membawa imej Kota Baharu di Hulu Selangor. Tetapi dari mana dia nak dapatkan peruntukan yang besar? Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat masih terumbang-ambing.
Namun demikian, calon BN itu pasti akan didukung oleh kerajaan Pusat. Maka peruntukan pasti banyak. Tekanan akan dihadapi oleh calon BN jika BN menang kerana rakyat di situ ingin menilai sejauhmana dasar rakyat didahulukan diaplikasikan di sana.
Inilah cabaran yang akan dihadapi oleh kedua parti kelak.










SELAMAT MENGUNDI WAHAI PENDUDUK HULU SELANGOR..MUNGKINKAH HULU SELANGOR AKAN KEMBALI SEMULA KEPADA BN?....MENARIK...SANGAT MENARIK SENARIO POLITIK NEGARA SEKARANG INI...

Tuesday, November 3, 2009

DR ASRI MANGSA HASAD ULAMA SUK JAIS

Penangkapan Dr.Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dilihat sebagai satu bukti kelemahan besar golongan yang mengaku ulama dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Saya katakan sebagai bukti kelemahan besar umat ulama dalam dalam bidang pengurusan dan pentadbiran ialah kerana arahan menangkap Dr.Asri dibuat secara "tangkap muat" dan dengan tujuan HASAD.

Maka saya menyeru kepimpinan JAIS hendaklah diganti dengan orang yang lebih berhemah dan bijaksana yang tidak dikuasai oleh HASAD.

HASAD yang menguasai JAIS mesti dibersihkan sebersih-bersihnya kerana kita tahu Dr.Asri tidak bercakap secara semberono. Tulisan-tulisan beliau mempunyai nilai ilmu dan benar. Saya sering mengikuti tulisannya. Pandangannya tentang sesuatu isu dikupas dengan adil dan ilmiah.




TIADA TAULIAH bukanlah satu masalah besar. Ia boleh diselesaikan dengan baik tanpa HASAD. TAULIAH adalah kuasa. JAIS cuma nak tunjuk bahawa mereka ada kuasa. Itu sahaja tujuan mereka tahan dan tangkap DR.Asri. Mereka tidak membantu para pendakwah sebaik Dr.Asri.

JAIS sebenarnya membunuh kerja dakwah Dr.Asri. JAIS mesti bantu para pendakwah. JAIS mesti membawa DR.Asri berbincang. Bantu beliau mana yang patut.

Dr.Asri berbeza dengan Al ARQAM, AYAH PIN dan RASUL MELAYU.

Justeru itu, saya mohon perkenan Duli Yang Mulia Sultan Selangor, pecat Pengarah JAIS. JAIS gagal membantu para pendakwah seperti ilmuan Dr.Asri ini.

Friday, October 9, 2009

RAKYAT BAGAN PINANG AKAN MENGHAKIMI PEMBANGKANG




Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada Ahad 11/10/09 semakin menonjolkan belang PAS dan Pakatan Rakyat. Ketakutan mereka kepada undi pos amat tidak wajar. UMNO sepatutnya yang bimbang dengan undi pos.

Kembalinya Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang akan memperkukuhkan lagi BN di Negeri Sembilan. Ini kerana Isa Samad mempunyai kredibiliti tersendiri untuk membawa BN kembali kuat di NS. Menteri Besar NS, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengambil langkah betul. Jangka panjang BN NS akan dapat Tok Guru politik mantan MB. Beliau akan beri nasihat.

Cuma saya nak minta Tan Sri Isa tolong selesaikan masalah rumah terbengkali di Tampin yang sudah masuh 15 tahun masih belum siap-siap. Duit pencen tetap dipotong ke akaun pemaju. Rumah tak siap-siap. Sepatutnya tahun 2002/2003 dah siap dan boleh duduk. Minta sangatlah atasi perkara ini.

MB NS tolonglah pantau dan selesaikan segera. Saya kasihan dengan nasib pembeli yang sering merungut kepada saya kerana rumah tak siap tapi duit gaji kena potong bayar pinjaman rumah. Ini satu kezaliman yang mesti segera di atasi.

Sebab itu, PAS susah nak menang di Bagan Pinang kerana PAS tak boleh atasi masalah rakyat. Kecualilah NS diperintah oleh PAS. Tapi rakyat NS masih yakin dengan BN.




Bagan Pinang boleh jadi batu loncatan kepada rakyat untuk menolak kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah seperti tikus baiki labu. BN perlu buktikan mereka adalah pembela rakyat. Teruskan tradisi membela rakyat di Bagan Pinang dan NS serta seluruh negara.







Friday, July 31, 2009

ISA MASIH DIPERLUKAN UNTUK KUKUHKAN SOSIO EKONOMI



Pertembungan dua kuasa Melayu. Najib mewakili kuasa Melayu UMNO. Anwar mewakili kuasa trojan Bukan Melayu?


Pasukan Keselamatan penting memelihara negara dari anasir jahat.

Memansuhkan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri seperti yang diminta oleh pihak-pihak berkepentingan tertentu sangat tidak wajar. Ia seperti cuba menghapuskan ubat yang sangat baik untuk mengubati sesuatu penyakit.

Masalah yang dihadapi oleh Malaysia sekarang ini dan akan datang ialah gerakan politik yang ingin mengambil kuasa di luar norma demokrasi. Mereka ini gagal menerima sokongan rakyat melalui peti undi setiap kali pilihanraya umum diadakan. Maka dengan sebab itu, mereka minta ISA dihapuskan.

Mengapa mereka tidak minta hapuskan komunis, terrorist, perusuh jalanan yang mana mereka ini banyak membawa kerosakkan kepada ekonomi negara?

Jelaslah, golongan yang minta ISA dihapuskan ini sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka meningkatkan taraf hidup rakyat dan negara.



Contoh Demokrasi yang subur tetapi masih boleh diperbaiki



Tidak sedarkah Melayu sedang dihina?

(Rencana Utusan Malaysia 4 Ogos 2009)

SEKALI lagi segelintir orang Melayu menjadi 'kuda tunggangan' pihak tertentu. Sekali lagi Melayu ditipu kerana mahu memenuhi perjuangan kaum lain.

Pada Februari lalu, kita dapat saksikan bagaimana orang Melayu yang menjadi penyokong fanatik pakatan pembangkang di Perak sanggup tunjuk perasaan dan baring di tengah jalan depan Istana Kuala Kangsar.

Dulu mereka tunjuk perasaan sebab mahu mengganggu majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Mereka lupa kerajaan pimpinan bekas menteri besar daripada Pas dan 'dikawal' oleh DAP itu sudah hilang kuasa.

Sabtu lalu, orang Melayu yang beria-ia mahu ISA dimansuhkan melakukan huru-hara di ibu kota Kuala Lumpur. Mereka lupa pihak yang mahu ISA dimansuhkan itu adalah perjuangan pertubuhan haram Hindraf.

Orang Melayu perlu buka mata dan pasang telinga. Kalau benar pakatan menolak ISA itu adalah suara semua kaum, ke mana kaum-kaum lain dalam demonstrasi Sabtu lalu?

Hakikatnya, majoriti yang terkena gas dan cecair pemedih mata adalah orang Melayu. Lebih 90 peratus daripada 589 orang yang ditahan juga adalah Melayu.

Ke mana perginya penyokong DAP dan PKR daripada kaum Cina dan India? Adakah mereka mempunyai strategi lain dan demonstrasi jalanan bukan cara mereka?

Sebelum ini mereka yang berapi-api melaungkan slogan hapuskan ISA. Nampaknya penyokong Pas sahaja yang dijadikan 'kambing hitam.' Imej Melayu yang berkupiah putih, berjubah dan berserban diperlihat sebagai orang yang ganas dan kurang bertamadun.

Tiada siapa yang suka imej yang memburukkan orang Melayu dan Islam. Jelas ada yang tidak kena. Adakah orang Melayu sedar akan hal ini?

Kejadian dua kali orang Melayu 'bertempur' dengan pasukan polis pada tahun ini wajar membuka akal fikiran kita.

Bodohkah Melayu atau bijaknya mainan politik bukan Melayu? Cuba fikir, akhirnya siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Kita belum temui cadangan pihak pakatan rakyat untuk mengadakan demonstrasi mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan yang cuba diganggu-gugat oleh bukan Melayu.

Sebaliknya perkara yang boleh memberi keuntungan kepada bukan Melayu dalam jangka masa panjang yang beria-ia disokong.

Kempen pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah usaha kuat DAP. Gerakan hapuskan ISA adalah kempen Hindraf.

Tetapi majoriti peserta tunjuk perasaan yang menyusahkan rakyat itu ialah Melayu.

Jika dikatakan maruah dan martabat orang Melayu sekarang semakin diganggu gugat dan dicabar, mungkin penyokong pembangkang enggan menerimanya.

Mereka tidak akan percaya maruah Melayu dihina dan diperkudakan. Mereka tak mudah menerima penerangan bahawa banyak cara halus sedang dilakukan untuk menjatuhkan maruah pemimpin dan orang Melayu.

Terpulang kepada orang Melayu sendiri sama ada mahu bangkit atau relakan diri dipijak oleh orang lain.

Pengajaran :

  • Parti Pembangkang Melayu tidak berjuang untuk bangsa Melayu dan Islam.
  • Parti Pembangkang Melayu mudah ditipu oleh Parti Pembangkang Cina dan India.
  • Pengikut Parti Pembangkang Melayu suka melihat kuasa Parti Pemerintah Melayu hancur.
  • PAS dan PKR berjaya membodohkan pengikut mereka untuk kuasa yang samar.
  • Anwar Ibrahim merupakan pemimpin Melayu Pembangkang yang paling berpengaruh setakat ini dan menjadi kuda trojan DAP untuk meranapkan kuasa Melayu UMNO.



Mampukah Anwar meruntuhkan kerajaan Melayu UMNO ?

Sunday, June 28, 2009

KISAH BENAR ANGKARA POLITIK JAHILIYAH




Gambar: Hanya sekadar hiasan.

Jangan ikut etika syaitan

SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.

Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO. Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.

‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.

Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?

HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.

Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.

Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.





Sanggupkah anda sentiasa begini? Angkara Virus. Gambar Hiasan.


Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.

Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'. Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.

Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).