MENGHAPUSKAN KEMISKINAN

Sunday, May 3, 2009

KERAJAAN TIDAK BOLEH NAFIKAN HAK ORANG MASUK ISLAM!




Menguji batasan untuk meminda undang-undang tukar agama

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan untuk merujukkan kes melibatkan hak penjagaan anak dan penukaran agama anak lelaki S. Shamala dan Muhamad Ridzwan (Dr Jeyaganesh C. Mogarajah) ke Mahkamah Persekutuan Selasa lepas telah mencetuskan beberapa isu menarik.


Paling penting, ini akan menjadi ujian terbesar bagi kerajaan dan juga badan kehakiman negara apabila Kabinet membuat keputusan berani bahawa anak kepada pasangan yang telah bercerai perlu diasuh dengan agama yang dianuti semasa perkahwinan mereka, sekiranya seorang daripada mereka kemudiannya memeluk agama lain.


Keputusan penting yang dibuat oleh Kabinet dua minggu lepas itu bakal menjadi ujian kepada mahkamah tertinggi negara jika undangundang dan enakmen sedia ada dipinda untuk memberikan tafsiran jelas mengenai perkara berkaitan dengan kes penukaran agama, menurut kalangan pengamal undang-undang.


Kebanyakan orang melihat keputusan Kabinet itu sebagai langkah penyelesaian terhadap kekecewaan ibu bapa apabila anak mereka ditukar agama tanpa pengetahuan, persetujuan atau bertentangan dengan kehendak mereka.


Langkah itu selaras dengan semangat 1Malaysia, konsep yang dilihamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggesa rakyat Malaysia mengelak daripada melihat sesuatu perkara itu daripada perspektif etnik yang sempit atau apa yang disifatkannya sebagai "silo etnik".


Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Mahkamah Rayuan telah memutuskan untuk merujukkan lima persoalan perlembagaan kepada mahkamah tertinggi sebelum perbicaraan rayuan kerana ia mahu Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman mengenai percangggahan antara undang-undang Islam dan sivil mengenai penukaran agama dan kebebasan beragama.


Sebagai contoh, terdapat persoalan sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anak mereka daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang kekal dengan agama asal, adalah tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.


Ini kerana pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak memberikan hak samarata kepada ibu atau bapa dalam pengasuhan dan penjagaan anakanak mereka.


Isu lain ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang persekutuan berkaitan dengan isu menukar agama mereka di bawah umur oleh ibu bapa.


Mahkamah Persekutuan juga perlu memutuskan sama ada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah yang bercanggah dan jika berlakunya penukaran agama kanak-kanak daripada perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh ibu atau bapa tanpa persetujuan pihak ibu atau bapa yang bukan Islam, dengan itu di manakah ibu atau bapa bukan Islam itu boleh mendapatkan penyelesaian.


Dalam kes Shamala-Muhamad Ridzwan, kedua-duanya bergantung kepada kedua-dua set perundangan, Muhamad pada undang-undang syariah dan Shamala pada Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.


Di bawah sistem undang-undang yang berbeza itu, kedua-dua mereka diberikan hak penjagaan kedua-dua anak lelaki mereka yang dilahirkan sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka, dan tujuh tahun kemudian, kes mereka masih tiada noktahnya.


Perkara yang sama juga berlaku dalam kes Indira Ghandi dan K. Patmanathan (Mohd Ridzuan Abdullah), di mana mahkamah syariah sebelum itu memberikan hak penjagaan sementara anak kepada Mohd Ridzuan dan dua minggu kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan sementara kepada Indira.


Pada kaca mata orang ramai, ini merupakan perkara yang serius jika Mahkamah Persekutuan perlu membuat tafsiran mengenai sama ada mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa ke atas mahkamah syariah jika perkahwinan itu asalnya didaftarkan mengikut undang-undang sivil.


Bagaimanapun, sesetengah pihak bimbang bahawa tanpa sebarang pindaan terhadap undang-undang sedia ada, keputusan Kabinet itu mungkin tidak dapat membantu mereka yang mencari jalan penyelesaian terhadap masalah mereka.


Seperti ditegaskan oleh Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan, arahan Kabinet merupakan kenyataan dasar yang memerlukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi penguatkuasaan sepenuhnya.


"Perundangan relevan perlu segera dipinda untuk dilaksanakan sepenuhnya arahan itu tanpa tertangguh lebih lama lagi," katanya.


Senator Datuk Gooi Hoe Hin berkata, menerusi semangat 1Malaysia, kerajaan sekarang perlu segera meminda beberapa undang-undang untuk menjamin bahawa hak asasi bukan Islam yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan tidak dicabuli.


Undang-undang yang perlu dipinda ialah Perkara 12(4) dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (semakan 1988) dan Akta Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.


Pindaan berkenaan adalah untuk memastikan prinsip asas bagi sistem sosial yang adil dan saksama dapat dipertingkatkan, dengan itu akan dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan, kata Gooi.

Bagaimanapun, ada pihak yang berhujah bahawa meminta kerajaan membuat perubahan dengan kadar segera adalah mudah tetapi realitinya ia akan mengambil masa.


Lebih-lebih lagi yang membabitkan perkara penting berkaitan dengan pindaan undang-undang Islam yang memerlukan perkenan raja-raja Melayu dan persetujuan badan-badan agama Islam.


Beberapa organisasi Islam dilaporkan membantah arahan Kabinet itu dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada pindaan seumpama itu dapat dilaksanakan.






Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan kerajaan perlu mendapatkan pandangan Majlis Mufti Malaysia kerana tegasnya "dalam Islam apabila bapa atau ibu adalah beragama Islam, anak secara automatik menjadi Islam kecuali anak itu berumur 15 tahun ke atas dan mereka boleh membuat pilihan agama."

Rata-rata peguam syariah Malaysia berpendapat keputusan Kabinet itu telah menafikan hak orang yang memeluk agama Islam.


Peguam kanan Roger Tan berkata, Mahkamah Persekutuan boleh membuat mana-mana keputusan atau ia mungkin tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu dan akan meminta pengubal

undang-undang untuk mencari penyelesaian berhubung bidang kuasa yang bercanggah atau bertindih.


"Mahkamah Persekutuan boleh membuat sebarang keputusan. Ia boleh lari daripada keputusan biasa. Tiada siapa tahu dengan pasti," katanya.


Apa pun, kerajaan perlukan sokongan majoriti dalam Parlimen untuk membuat perubahan yang perlu demi kebaikan semua menerusi semangat berani 1Malaysia.BERNAMA

Wednesday, March 18, 2009

KENAPA KEDUDUKAN MELAYU DI NEGARA SENDIRI MASIH KELIHATAN LEMAH?



Polis Melayu lambang kuasa Melayu?


Persoalan waktu ini tentang orang Melayu ialah kenapa kedudukan orang Melayu di negara sendiri masih kelihatan lemah? Di manakah silapnya?

Mari kita menyorot sejarah ringkas orang Melayu khususnya. Sebelum itu, saya ingin memaklumkan bahawa darjat sesebuah bangsa itu diukur pada aspek ilmu dan amalannya, kekuatan sosio politiknya dan kekuatan sosio ekonominya.

Sebelum kedatangan kaum imigran Cina dan India secara besar-besaran angkara penjajah Inggeris, orang Melayu sudah pun memiliki kerajaan masing-masing tetapi mereka sering berperang akibat fahaman kenegerian, perebutan kuasa, dan kepuakan.

Monday, March 9, 2009

PPSMI: DASAR YANG MENGELIRUKAN RAKYAT DAN PENYELESAIANNYA SECARA ADIL.




Kenapa kerajaan memilih subjek Sains dan Matematik? Kenapa tidak kerajaan memperkenalkan subjek baru seperti Bahasa Inggeris Komunikasi Rendah dan Menengah? Bukankah itu lebih sesuai diajar kepada anak-anak kita di peringkat rendah dan menengah berbanding Sains dan Matematik?

Sepatutnya Sains dan Matematik diajar terus dalam Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu). Peringkat rendah dan menengah wajar menguasai tatabahasa Inggeris. Apabila murid rendah dan menengah sudah boleh kuasai tatabahasa Inggeris, saya yakin, mereka boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik.

Kelemahan murid berbahasa Inggeris berpunca daripada masalah tatabahasa. Ada berbagai-bagai jenis tatabahasa dalam bahasa Inggeris seperti "Verb", "Noun","Adverb", "Adjective" dan sebagainya. Kementerian Pelajaran hendaklah memahirkan murid-murid dalam pengajaran tatabahasa dahulu.

Peringkat sekolah rendah dan menengah adalah masa pelajar menguasai tatabahasa bahasa Inggeris dahulu. Ini penting. Tapi, Kementerian Pelajaran tidak mempedulikan perkara ini. Sebaliknya, mereka sibuk dengan PPSMI.

PPSMI sesuai untuk pelajar peringkat Universiti tertentu sahaja sebagai satu subjek pilihan. Bukan satu subjek wajib. Ini kerana bukan semua pelajar mahir subjek Sains dan Matematik!

Sebab itu, ramai cendiakawan ulung negara seperti Profesor Diraja Ungku Aziz, Pakar Bahasa, GAPENA, malah guru sendiri, sebelum dasar PPSMI diperkenalkan dahulu, membantah dan mempersoalkan kewajaran PPSMI. Namun bantahan dan tindakan mereka mempersoalkan dasar tersebut dipandang rendah oleh kerajaan pada waktu itu.





Kini terbukti, bantahan dan penyoalan mereka dahulu terbukti benar. PPSMI tidak sesuai kepada pelajar peringkat rendah dan menengah. Sebabnya mereka masih mentah dan belum sepenuhnya menguasai tatabahasa bahasa Inggeris itu sendiri! Inilah bantahan yang pernah disuarakan oleh pakar bahasa dan tokoh-tokoh akademik terulung tanah air semasa mereka mempertikaikan kewajaran dasar PPSMI dahulu.

Kerajaan wajar juga diberi pilihan. Pertama, PPSMI boleh diteruskan tetapi khusus untuk sekolah tertentu sahaja. Contohnya seperti Sekolah Bestari, Sekolah Rendah yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris sahaja. Atau kerajaan sendiri tentukan sekolah mana yang mereka fikirkan patut dan sesuai diajar PPSMI ini. Manakala di peringkat Universiti pula kerajaan menubuhkan sebuah universiti khas yang bahasa pengantarnya 100% bahasa Inggeris.

Sekolah lain diberikan kembali status lama iaitu diajar dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Semua peralatan yang dibekalkan boleh digunakan.

Untuk pengetahuan kerajaan, rakyat boleh terima Dasar Pandang Ke Timur tanpa ada syak wasangka.

Tetapi Dasar PPSMI sukar diterima oleh rakyat kerana Bahasa Pengantar negara ini ialah Bahasa Melayu..! Inilah yang saya katakan PPSMI adalah dasar yang jelas mengelirukan rakyat!

Kerajaan rakyat hendaklah mendengar suara rakyat! Rakyat memang tidak suka PPSMI kerana bantahan mereka selama ini dipandang rendah.



PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK TIDAK BANYAK MEMBANTU PELAJAR MAHIR BERTUTUR DALAM BAHASA INGGERIS.

Saya berani memberikan cabaran kepada mereka yang mendukung perjuangan PPSMI ini. Ujilah pelajar-pelajar yang sudah belajar PPSMI ini akan kebolehan mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris. Saya yakin dan percaya, jawapannya ialah tiada ada apa-apa perubahan. Masih seperti dulu. Seperti sebelum PPSMI.

Saya sudah buat ujian kepada mereka. Khususnya sekolah luar bandar. Grammer mereka masih bercelaru. Masih belum dapat bezakan noun dengan verb, adjective dengan adverb!

Kebanyakan mereka kata cara cikgu ajar sains dan matematik membosan dan keliru. Sekejap Melayu. Sekejap Inggeris. Keupayaan guru sangat lemah. Lemah bertutur. Lemah juga ilmu sains dan matematik mereka.

Cuba uji pelajar lepasan SPM 2008 lalu. Uji Bahasa Inggeris mereka. Minta mereka berikan pendapat dalam Bahasa Inggeris. Pasti jawapannya masih seperti dulu. PPSMI tidak banyak membantu mereka mahir berbahasa Inggeris. Sebabnya, grammer bahasa Inggeris mereka masih lemah.

SAINS DAN MATEMATIK ADALAH ILMU LOGIKA

Kebanyakan orang hanya tahu sebut Sains dan Matematik. Betul ia cabang ilmu. Ilmu apa? Ilmu logika hasil dari kajian-kajian, penemuan-penemuan, hipotesis-hipotesis , formula-formula dan sebagainya. Ilmu ini boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja. Asalkan mereka faham sebab-musababnya.

Sains dan Matematik boleh dipelajari dalam bahasa apa pun kerana ia ilmu logika hasil kajian mendalam tentang suatu perkara. Sebab itu bangsa Rusia, Jepun boleh menguasai ilmu Sains dan Matematik ini kerana ia ilmu logika. Boleh difikir dalam bahasa sendiri.

Ilmu Sains dan Matematik ini sudah berdiri terlalu lama. Ia sudah dibukukan oleh para ilmuan. Contohnya karya Ibnu Sina "Qanun Fit Tib". Sudah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Ilmu hasil karya Ibnu Sina semakin berkembang hasil pemikiran bangsa-bangsa lain menurut kajian dan logika bangsa-bangsa yang buat terjemahan tadi. Bahkan dalam Bahasa Melayu pun ada terjemahannya.

Dari ilmu Sains dan Matematik bercambah ilmu kejuruteraan dan cabang-cabangnya. Kemudian bandingkan dengan karya Ibnu Sina? Cuba tanya, bagaimanakah ilmu-ilmu tersebut berkembang dan dibukukan? Ya, melalui penterjemahan! Dalam bahasa ibunda masing-masing. Kemudian apabila ilmu itu difahami, ia akan berkembang lagi menurut ilham dan dapatan masing-masing. Berlakulah proses mencatat dan membukukan.

Begitulah ilmu Sains dan Matematik berkembang. Hakikatnya, ilmu Sains dan Matematik ini sudah lama berdiri. Sudah mempunyai buku sendiri. Dipenuhi berbagai fakta dan formula. Pelajar dikehendaki hafal dan aplikasikan sahaja. Kefahaman tinggi pelajar dituntut di sini. Dari mana datangnya kefahaman itu? Gabungan dari bacaan , hafalan, faham, seterusnya proses mencatat. Boleh dalam apa juga bahasa bergantung kepada bangsa dan penuturannya. Tidak semestinya dengan bahasa Inggeris!

Untungnya orang Inggeris ialah bangsa mereka rajin dan produktif menterjemah setiap ilmu dan dapatan ilmu hasil penemuan baru mereka. Mereka guna bahasa mereka sendiri dan mereka berjaya mengembangkan ilmu yang mereka kutip dan tiru daripada karya Ibnu Sina dan selainnya. Bagaimana dengan bangsa Melayu khususnya para ilmuannya? Bila lagi mereka nak mengangkat bahasa mereka sebagai bahasa ilmu? Apakah mereka masih berfikiran terjajah sehingga berasa tidak yakin dengan kehebatan bahasa sendiri?

BELAJAR BAHASA INGGERIS UNTUK PERHUBUNGAN ANTARABANGSA

Apabila belajar bahasa Inggeris, tujuannya ialah supaya seseorang itu boleh bertutur dengan berbagai maksud dan tujuan. Malangnya, PPSMI tidak berupaya menjadikan pelajar kita mampu bertutur atau paling tidak memberikan pendapat berhubung sesuatu isu dengan baik.

Kita hanya berbangga dengan keputusan di atas kertas. Realitinya ramai pelajar produk PPSMI tidak mahir langsung bertutur bahasa tersebut. Apatah lagi apabila diminta memberikan pandangan dalam bahasa itu.

Kita bangga sambil berkata..tengok..betapa ramai pelajar menjawab soalan PPSMI dalam bahasa Inggeris. Benarkah mereka boleh menulis jawapan dengan betul grammernya mestilah juga dianalisis.

Sayangnya, tujuan belajar bahasa Inggeris ialah untuk melihat pelajar boleh bercakap bahasa Inggeris tidak pula digembar-gemburkan!

Kemahiran bercakap bahasa Inggeris! Penguasaan "grammer" nya, perkataan-perkataannya. Ya ini yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar.

MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS

Apabila pelajar sudah menguasai tatabahasa Inggeris, mereka perlukan kamus sebagai memperkayakan perbendaharaan kata. Mereka boleh gunakan akhbar, jurnal, majalah dan sebagainya sebagai cara untuk memantapkan lagi lisan bahasa Inggeris mereka.

Pelajar perlu yakin bertutur. Ini gagal dilakukan di sekolah. Sebab guru hanya mementingkan peperiksaan sahaja.



Chef Wan...antara orang Melayu yang mahir berbahasa Inggeris....berjaya sebagai Chef Antarabangsa! Beliau bukan keluaran PPSMI pun.....




Sunday, February 15, 2009

KEBIJAKSANAAN YAHUDI DI SEBALIK WATAK SUPERMAN



Bagaimana watak 'Superman' menakluki dunia

Oleh Johan Jaaffar (Berita Harian 15 Feb 2009 Ahad)

Muslihat Yahudi gunakan budaya popular secara berkesan

DALAM akhbar ini minggu lalu, seorang penyanyi terkenal Faizal Tahir membuat kenyataan bahawa beliau tidak menyedari asal watak Superman. Faizal menggunakan imej itu sebagai sebahagian daripada gimik persembahannya. Superman sebenarnya merupakan ciptaan dua orang anak muda Yahudi pada tahun 30-an, Jerry Siegel dan Joseph Schuster. Siegel dilahirkan di Cleveland, Amerika Syarikat (AS) sementara Schuster di Kanada pada tahun 1914. Mereka menjadi kawan sekolah di Glenville High School (AS). Di sanalah mereka mula menghasilkan karya bersama: Siegel menulis dialog sementara Shuster melukis. Pada tahun 1934, Siegel mendapat ilham untuk memulakan cerita seorang bayi dari planet yang lain yang dihantar ke bumi. Bayi itu menjadi Clark Kent, yang bekerja dengan syarikat akhbar Daily Planet. Tetapi Kent bukan sebarangan manusia. Beliau sebenarnya mempunyai kuasa luar biasa.

Komik sebenarnya baru lahir di AS pada masa itu. Menurut buku Jews and American Comics: An illustrated History of an American Art Form, komik tercipta pada tahun 1933 oleh Charlie Ginsburg, seorang guru separuh masa. Komik dan kemudiannya novel grafik menjadi wahana penting dalam mengartikulasikan sikap dan pendirian seniman Yahudi di AS. Memang bukan rahsia, selain Superman, watak komik terkemuka seperti Batman, X-Men dan Spiderman juga dihasilkan oleh artis-artis Yahudi. Tetapi tidak ada watak lain yang begitu besar kesannya berbanding Superman.





Anehnya cadangan komik Superman ditolak oleh banyak penerbit masa itu. Akhirnya penerbit Detective Comics (DC) bersetuju membayar $130 ((RM455 sekarang) sebagai royalti. Apabila kali pertama muncul pada bulan Jun 1934, Superman menjadi komik yang begitu popular. Penerbitnya membuat keuntungan berjuta-juta dolar. Kedua-dua pelukis itu menyaman syarikat itu tetapi sia-sia kerana hakcipta komik telah diserahkan pada penerbit. Pada tahun 1978 syarikat filem Warner Communications membuat filem pertama Superman. Filem itu melonjakkan nama pelakon Christopher Reeve. Filem itu mengaut lebih RM962 juta. Hari ini berbilion ringgit telah dipungut dari beberapa buah filem Superman selain francais barangan. Siegel dan Shuster mati papa kedana.

Pada waktu Superman lahir, AS berada dalam zaman kemelesetan yang teruk. Jutaan manusia hilang pekerjaan. Pada masa yang sama sentimen anti-Yahudi begitu meluas di AS. Malah tahun-tahun 30-an itu dikatakan dekad anti-Semitism yang paling hebat dalam sejarah negara itu. Penyokong Nazi menggunakan gerakan German-American Bund untuk mendedahkan "perilaku" Yahudi. Beberapa orang tokoh terkemuka Kristian juga mengecam kaum Yahudi. Kaum Yahudi dihalang dari menyertai banyak persatuan, kelab malah dikurangkan kemasukan ke universiti-universiti ternama. Sentimen yang sama membara di Eropah terutamanya di Jerman. Adolph Hilter baru sahaja berkuasa. Hitler sedang melaksanakan dasar mengenal pasti kaum Yahudi dan menyalahkan mereka kerana penguasaan mereka dalam pelbagai bidang - khususnya ekonomi di Eropah. Pelaksanaan "penyelesaian terakhir" Hitler ialah dengan membunuh lebih enam juta Yahudi sewaktu Perang Dunia Kedua, peristiwa yang dikenal sebagai Holocaust.

Penanggungan kaum Yahudi inilah yang membetik hasrat Siegel dan Shuster untuk memberikan suntikan semangat secara halus. Superman digambarkan mempunyai dua personaliti, seorang pemberita yang lemah lembut dan pemalu dan yang satu lagi, manusia besi yang boleh menahan peluru dan terbang ke mana sahaja bagi menyelamatkan manusia di mayapada. Seperti kaum Yahudi yang berhijrah ke AS, Superman juga pendatang. Malah sewaktu Perang Dunia Kedua, Superman juga menjadi askar, sesuai dengan hasrat untuk menunjukkan kaum Yahudi AS juga sama patriotiknya dengan kaum-kaum lain.

Watak Superman yang diilhamkan oleh Siegel ini mengambil semangat dari cerita Nabi Musa yang dihanyutkan di Sungai Nil bagi menyelamatkan Baginda dari Firaun. Dalam komik asalnya bapa Kal-El (nama asal Superman) bernama Jor-El menghantar anak lelakinya ke dunia dengan misi tertentu. Kal-El ditemui oleh keluarga Jonathan dan Martha Kent di AS dan diberikan nama Clark. Perkataan "El" dalam Bahasa Hebrew itu ada kaitannya dengan nama Tuhan kaum Yahudi.

Kita tidak tahu apakah kaitan Yahudi pada Superman ini secara sengaja disedari oleh Siegel dan Shuster. Sudah pasti mereka sedar apa yang berlaku di Jerman dan prasangka terhadap kaum mereka di AS sendiri. Ironinya konsep "Superman" (manusia luar biasa) dimulakan oleh seorang ahli falsafah Jerman bernama Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844 - 1900). Beliaulah yang memperkenalkan "Supermensch" dalam bahasa Jerman. Superman dalam bentuk komik itu mengetengahkan sifat-sifat keluarbiasaan yang bukan sahaja memancarkan kekuatan dan kehebatan tetapi juga kecerdikan, tetapi rendah diri dan jujur.

Apakah Superman seorang Yahudi? Ini isu yang sebenarnya telah banyak dibincangkan sebelum ini. Malah sejak tahun 1940 lagi, Menteri Propaganda Adolph Hitler yang berpengaruh bernama Josef Goebbels dalam akhbar Das Schwarze Korps, lidah rasmi Pertubuhan Nazi, mengisytiharkan Superman sebenarnya Yahudi. Beliau menyedari pengaruh komik itu ke atas masyarakat dunia. Bagi Goebbels Superman ialah "alter ego" Yahudi yang berbahaya.

Tahun ini genaplah 75 tahun lahirnya Superman. Orang tidak lagi sedar dari mana asalnya Superman. Watak ini menjadi ikon berbilion manusia di dunia, khususnya kanak-kanak. Superman ialah penyelamat manusia kerdil dan tertindas. Kita menerima wira Yahudi yang menjadi All-American Hero sebagai wira kita juga. Tidak ada salahnya menerima wira seperti ini kerana ia menjadi sebahagian dari budaya popular. Malah tidak ada salahnya memakai pakaian Superman atau seperti Faizal Tahir, menjadikan watak itu identiti persembahannya. Tetapi matlamat dan misi ciptaan seperti ini harus difahami dengan jelas.

Orang Yahudi tidak ramai di dunia ini, mungkin 14 juta orang sahaja. Tetapi mereka bangsa yang cerdik dan berpengaruh. Pengalaman kaum mereka di Jerman mengajar mereka makna survival. Seperti tulisan saya mengenai Sinema Holocaust dua minggu lalu, mereka menggunakan filem sebagai wadah penting mengingatkan rasa bersalah Jerman dan dunia pada mereka. Sentimen anti-Yahudi di AS menggerakkan mereka untuk mewujudkan gerakan lobi yang paling ditakuti di negara itu, Israel Public Affairs Committee (AIPAC).

Dalam rencana saya di dalam halaman ini pada 22 Jun 2003 ("Mencari Rahsia Kekuatan Yahudi") saya menyentuh tentang penguasaan kaum Yahudi dalam pelbagai bidang. Dalam dunia sastera mereka menggunakan kuasa pengkritik dan industri buku bagi "mengasingkan" orang lain. Pendedahan yang dibuat oleh Richard Kostelanetz dalam bukunya The End of Intelligent Writing: Literary Politics in America yang terbit pada tahun 1973 patut sangat dibaca.

Pada tahun 1973 juga, Paul Finley, bekas ahli Dewan Senat AS, menulis buku They Dare To Speak Out: People and Institutions Confronting Israel's Lobby yang mendedahkan bagaimana takutnya ahli politik AS dengan lobi Yahudi. Malah bukan rahsia lagi, sesiapapun yang ingin menjadi Presiden AS - termasuk Barack Obama - harus mendapat sokongan atau endorsement dari gerakan lobi Yahudi di AS.

Semua ini mungkin kerana kaum Yahudi menguasai media, budaya popular selain sistem perbankan dan gerakan NGO yang berpengaruh. Banyak orang memandang remeh pengaruh budaya popular terhadap pembentukan minda. Tetapi seperti apa yang berlaku pada watak komik Superman, pengaruhnya cukup besar dan berpanjangan.

Hari ini anak-anak Muslim mengutuk rejim Yahudi kerana menyerang Gaza. Mereka membawa sepanduk anti-Israel dan anti-Yahudi. Dada mereka membara dengan kemarahan. Pada waktu yang sama mereka memakai baju-T bertulis 'Superman' wira yang dicipta untuk membuktikan keperkasaan kaum Yahudi.

FAKTA

  • Superman sebenarnya merupakan ciptaan dua orang anak muda Yahudi pada tahun 30-an, Jerry Siegel dan Joseph Schuster.

  • Komik dan kemudiannya novel grafik menjadi wahana penting dalam mengartikulasikan sikap dan pendirian seniman Yahudi di AS.

  • Selain Superman, watak komik terkemuka seperti Batman, X-Men dan Spiderman juga dihasilkan oleh artis-artis Yahudi.

  • Komik Superman ditolak oleh banyak penerbit masa itu. Akhirnya penerbit Detective Comics (DC) bersetuju membayar AS$130 ((RM455 sekarang) sebagai royalti.

  • Pada waktu Superman lahir, AS berada dalam zaman kemelesetan yang teruk dan sentimen anti-Yahudi begitu meluas di AS.

  • Bapa Kal-El (nama asal Superman) bernama Jor-El menghantar anak lelakinya ke dunia dengan misi tertentu. Kal-El ditemui oleh keluarga Jonathan dan Martha Kent di AS dan diberikan nama Clark.

  • Menteri Propaganda Adolph Hitler, Josef Goebbels mengisyitiharkan Superman sebenarnya Yahudi dan amat berbahaya.

  • Kita menerima wira Yahudi yang menjadi All-American Hero sebagai wira kita juga.

  • Anak-anak muda Muslim yang memprotes keganasan Israel di Gaza memakai baju T bertulis "Superman", wira yang dicipta untuk membuktikan keperkasaan kaum Yahudi.
  • Monday, January 26, 2009

    HUBUNGAN YAHUDI, ISRAEL DAN FAHAMAN ZIONISME


    Keazaman Zionis tubuh negara



    Konflik di bumi Palestin berlaku disebabkan oleh ideologi Zionisme yang dianuti oleh bangsa Yahudi. Ideologi itu diasaskan oleh Theodor Herzl, seorang Yahudi dari Austria, yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara kekal bagi bangsanya di Palestin.

    Herzl menekankan perkara ini dalam buku bertajuk Der Judenstaat (The Jewish State) pada 1896, kerana sedar bangsa Yahudi tidak pernah mempunyai negara sendiri.

    Keaadan itu berkait rapat dengan sifat bangsa itu sendiri yang sering disingkirkan, berpindah-randah atau dihalau atas kesombongan mereka sendiri, termasuk ingkar ajaran Allah dan juga membunuh nabi-nabi di kalangan mereka.

    Ke mana sahaja mereka pergi, bangsa Yahudi sentiasa menjadi kebencian masyarakat dan sering ditindas serta dibunuh.

    Peristiwa pembunuhan yang paling popular melibatkan bangsa itu ialah pembunuhan beribu-ribu Yahudi oleh Czar Rusia pada 1881 dan Holocaust oleh Nazi Jerman.

    Bangsa Yahudi percaya mereka berasal dari kerajaan Judah (Judae), sebuah pusat kenabian terdiri daripada nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israel yang diturunkan untuk berdakwah.

    Bangsa Yahudi mula menjadi bangsa pelarian dan merempat sejak Babylon menawan kerajaan Judah pada 641 Sebelum Masehi yang ketika itu menguasai Baitulmaqdis.

    Sejak itu, bangsa Yahudi meratapi nasib mereka terpaksa meninggalkan Bukit Zion dan berazam untuk kembali semula ke tanah air mereka itu. Sempena nama Bukit Zion itulah pergerakan Zionisme ditubuhkan.

    Tanah Palestin kemudian jatuh pula kepada Parsi setelah ia menawan Babylon dan kemudian beralih kepada Rom setelah empayar itu menawan Baitulmaqdis sebelum dikuasai oleh kerajaan Mamaluk dan Othmaniah.

    Di Eropah, Yahudi muncul sebagai bangsa yang berjaya sehingga wujud perasaan cemburu dan benci di kalangan bangsa asal dan fenomena ini dipanggil sebagai antisemitik.

    Kempen antisemitik di Eropah dan Rusia mendorong dua juta penduduk Yahudi berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) sekitar 1880 sehingga 1928 sementara sebahagian kecil lagi berhijrah ke Palestin kerana faktor agama.

    Pergerakan Zionisme kemudian berjaya menyebarkan fahaman itu di kalangan dua juta bangsa Yahudi di AS dan memesongkan penganut Kristian mengenai kedatangan Nabi Isa s.a bagi menarik sokongan terhadap konsep itu.

    Zionisme mula mendapat sokongan kerajaan AS semasa pentadbiran Presiden John Adams. Sementara itu, Presiden Harry S. Truman pula adalah presiden yang bertanggungjawab mengiktiraf penubuhan negara Israel.

    Ideologi Zionisme merupakan satu ajaran sesat yang memesongkan ajaran kitab Taurat berhubung "bumi yang dijanjikan Tuhan" untuk bangsa Yahudi dan "kepulangan bangsa Yahudi ke bumi asal mereka di Baitulmaqdis atau Al-Quds (Kota Suci)".

    Herzl yang juga seorang peguam dan wartawan di Perancis telah memberi manifestasi baru kepada ajaran Taurat berhubung "kepulangan bangsa Yahudi ke bumi asal mereka". Beliau mengambil sebahagian daripada saranan dalam kitab itu dan mengetepikan sebahagian lagi ayat berhubung "sehingga datang perintah dari Tuhan".

    Herzl berpendapat bangsa Yahudi tidak perlu menunggu perintah Tuhan, sebaliknya bangsa itu yang menentukan bila dan bagaimana mereka harus pulang.

    Herzl bekerja keras bagi menjayakan cita-citanya itu. Beliau kemudian mengumpulkan wakil daripada semua pertubuhan kecil Yahudi di seluruh dunia untuk menghadiri Kongres Pertama Yahudi di Basel, Switzerland pada 27 hingga 29 Ogos 1897 bagi membincangkan idea itu.

    Kongres itu melahirkan 'Program Basel' mengenai penubuhan negara kekal bagi bangsa Yahudi. Dan lahirlah juga Pertubuhan Yahudi Sedunia (PYS) bagi menggerakkan usaha penubuhan negara Yahudi kekal di Palestin.

    Herzl dipilih sebagai Presiden pertama PYS dan terus menerajui pertubuhan itu sehinggalah mati pada 1904.

    Atas idea dan kegigihan beliau itu, Herzl telah digelar sebagai bapa politik moden Zionisme oleh bangsa Yahudi.

    Herzl bijak mengatur langkah bagi mencapai impiannya itu serta menonjolkan dirinya sebagai pemimpin.

    Beliau mampu mempengaruhi pemimpin dunia agar bersimpati terhadap bangsa Yahudi. Herzl berjaya membuatkan pemimpin-pemimpin Kristian di Eropah berasa bersalah kerana tindakan kerajaan mengusir, menindas dan membunuh orang Yahudi.

    Melalui kempen dan strategi yang tersusun, Herzl berjaya menyatukan sebahagian besar bangsa Yahudi dengan memesongkan akidah mereka sehingga menganggap perjuangan dan tindakan bagi menubuhkan negara Yahudi itu sebagai satu jihad.

    Herzl juga mendekati dan mempengaruhi pemimpin dunia, terutama Kristian di Eropah dan AS. Yahudi juga bangkit menguasai sistem ekonomi, politik serta budaya termasuk industri maklumat, hiburan dan keilmuan. Dalam masa yang sama, mereka menyerapkan ideologi Zionisme.

    PYS akhirnya berjaya mempengaruhi kerajaan Britain berhubung penubuhan negara Yahudi di Palestin, apabila London mengeluarkan Perisytiharan Balfour pada 2 November 1917 yang mengiktiraf penubuhan negara kekal Yahudi.

    Pada mulanya, Britain memperkenalkan 'Projek Uganda' bagi menawarkan Uganda di Afrika kepada PYS. Argentina dan Kashmir, India juga pernah dicadangkan sebagai negara Yahudi.



    PYS menolak tawaran itu dan berkeras mahukan Palestin.

    Akhirnya Britain bersetuju dan mengemukakan cadangan itu kepada Liga Bangsa-Bangsa dan kepada kerajaan Othmaniah di Turki, yang ketika itu memerintah Palestin.

    Pada Jun 1986, Herzl sendiri menghadap Sultan Abdul Hamid II, pemimpin Othmaniah bagi memohon tanah di Palestin.

    Sultan itu menolak mentah-mentah idea Herzl.

    "Jika satu hari negara Islam (kerajaan Othmaniah) runtuh, maka pada masa itu barulah kamu boleh mengambil Palestin tetapi selagi beta hidup, beta lebih rela tubuh dikerat daripada menyerahkan Palestin untuk Yahudi."

    Herzl tidak putus asa dan terus mendekati pemimpin Britain, Perancis dan AS untuk membantu menjayakan cita-citanya.

    Pada waktu itu, pergerakan Zionisme telah berjaya meresap ke dalam sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan keilmuan di AS.

    Di Britain, konco-konco Herzl termasuk Chaim Weizmann dan Nahum Sokolow, pemimpin utama Zionis di London berjaya mendampingi dan mempengaruhi Setiausaha Luar Britain pada waktu itu, Arthur James Balfour, sehingga lahirlah Perisytiharan Balfour 1917 itu.

    Weizmann menjadi Presiden pertama negara Israel apabila ia ditubuhkan pada 14 Mei 1948.

    Pada 1936, Suruhanjaya Peel mencadangkan supaya Wilayah Mandat Palestin yang ditadbir oleh Britain dibahagi kepada dua negara, Yahudi dan Arab, tetapi ditolak oleh Palestin sehingga berlakunya pemberontakan Arab 1936-1939.

    Liga Bangsa-Bangsa yang ditubuhkan pada 28 Jun 1919 selepas tamat Perang Dunia Pertama kemudian memanjangkan cadangan Suruhanjaya Peel itu mengenai pembahagian dua negara di wilayah Palestin.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) ditubuhkan pada 24 Oktober 1945 bagi menggantikan Liga Bangsa-Bangsa pada September 1947 telah menubuhkan Jawatankuasa Khas PBB mengenai Palestin (UNSCOP) yang mengemukakan pelan pembahagian wilayah Palestin kepada dua negara.

    Pelan UNSCOP itu kemudian disahkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 29 November 1947 dengan bandar Baitulmaqdis diletak di bawah pentadbiran langsung PBB.

    Pelan itu ditolak oleh kerajaan Palestin dan negara-negara Arab kerana ia bercanggah dengan Piagam PBB sendiri.

    Apabila Britain berundur dari Palestin pada 14 Mei 1948, ketua PYS, David Ben-Gurion mengisytiharkan pembentukan negara Israel selaras dengan Resolusi PBB 1947, yang mencadangkan pembahagian Palestin kepada dua negara.

    David Ben-Gurion kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri pertama Israel.

    Sebelas minit selepas pembentukan negara Israel, Presiden AS ketika itu, Harry S. Truman mengiktiraf negara baru itu diikuti oleh Perdana Menteri Kesatuan Soviet, Joseph Stalin sejam kemudian.

    Pada 15 Mei, 1948, sehari selepas pembentukan negara Israel, penduduk Palestin pula mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Hitam (Yawm al-Nakba), apabila ribuan penduduk Palestin dibunuh oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

    Akhirnya, setelah 51 tahun berjuang, matlamat pergerakan Zionisme untuk menubuhkan negara Yahudi di Palestin mencapai kejayaan pada 14 Mei 1948.

    Sejak itu bermula konflik di Palestin di era moden dan penganiayaan, penindasan dan pembunuhan bangsa Palestin oleh rejim Zionis Israel sehingga ke hari ini.